https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kemelut politik bukan salah rakyat


KEMELUT politik yang berlaku ketika ini bukan disebabkan oleh rakyat tapi disebabkan oleh kalangan ahli politik itu sendiri.

Rakyat tidak bersalah apa-apa pun terhadap segala kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara kita.

Jangan salahkan rakyat ataupun pengundi kerana memberi undi kepada mana-mana ahli politik ataupun parti politik ketika proses pilihan raya umum lalu kerana rakyat ataupun pengundi hanya menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang pengundi.

Setelah proses pilihan raya tamat, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap ahli politik yang dipilih pula untuk menjalankan segala amanah diberikan kepada mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

Soalnya sekarang adakah, ahli politik yang dipilih ini menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sepenuhnya sebagai pemimpin ataupun tidak? Ataupun mereka hanya sibuk berpolitik?     

Semua ahli politik harus melihat diri mereka masing-masing serta tidak menuding jari kepada orang lain diatas segala kemelut politik yang berlaku kini.

Rata-rata rakyat sudah muak dengan segala kerenah ahli politik dalam negara kita.

Isu lompat parti yang tidak berkesudahan serta kes jenayah berat yang dihadapi oleh ahli politik dalam negara kita membuatkan rakyat tidak dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Penularan novel koronavirus (Covid-19) dalam negara kita pada ketika ini juga menyulitkan kehidupan semua lapisan rakyat.

Kebanyakan rakyat di bawah sana khususnya mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang inginkan semua ahli politik mencari jalan penyelesaian.

Ia bukan sahaja bagi membendung penularan virus, malah mahu semua ahli politik mencari jalan bagi mengurangkan impak negatif akibat penularan virus terhadap kedudukan ekonomi mereka yang terjejas terus akibat daripada penularan Covid-19 sejak awal 2020 ini. 

Jika semua ahli politik benar-benar sayangkan rakyat, segala kemelut atau drama politik yang berlaku kini harus dihentikan dengan serta-merta.

Semua ahli politik harus ketepikan segala ego yang mereka ada serta bersatu bagi membantu semua lapisan rakyat dalam mengharungi segala masalah yang sedang dihadapi pada masa ini.

Sekarang bukan masanya untuk ahli politik memikirkan soal kuasa.

Sekarang adalah masa untuk setiap ahli politik memikirkan soal rakyat dibawah sana yang sedang terkapai-kapai untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan masalah yang sedang mereka alami

* Dr Muzaffar Syah Mallow, pensyarah kanan Fakulti Syariah & Undang – Undang, USIM.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.