Oleh Muzaffar Syah Mallow
MEMANDANGKAN
penularan virus Novel Koronavirus (COVID-19) masih berlaku dalam negara
kita serta di serata dunia pada ketika ini, tidak wajar sekiranya
segala jenis aktiviti di tempat kerja seperti mesyuarat, bengkel,
seminar, dan segala bentuk aktiviti dibenarkan untuk dilaksanakan
dilakukan secara bersemuka ataupun secara fizikal di tempat kerja.
Zaman
sudah pun berubah. Pada zaman moden kini, pelbagai jenis kemudahan
serta aplikasi moden dalam talian sudah wujud bagi memudahkan urusan
semua pihak. Dengan wujudnya komputer, telefon pintar serta internet,
semua pihak boleh melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah, cepat
serta berkesan.
Segala kemudahan serta aplikasi moden dalam talian yang
wujud perlu digunakan dengan sepenuhnya oleh semua pihak dan ini
termasuklah oleh para pekerja sendiri di tempat kerja mereka.
Segala
kemudahan serta aplikasi moden dalam talian ini tidak boleh dijadikan
sebagai bahan perhiasan semata-mata ataupun alat yang hanya digunakan
ketika kita sedang hadapi waktu darurat sahaja seperti ketika penularan
wabak dan perintah kawalan pergerakan. Segala kemudahan dan aplikasi
moden dalam talian ini perlu digunakan sepenuhnya pada setiap masa
kerana ia memberi banyak manfaat dan kebaikan bukan sahaja pada diri
individu pekerja itu sendiri malah kepada orang ramai yang berurusan
dengan pihak pekerja itu.
Pengunaan
kemudahan dan aplikasi dalam talian ini mula mendapat tempat dalam
negara kita dan di serata dunia apabila berlakunya penularan virus
COVID-19 yang mengancam kesihatan dan nyawa manusia semenjak awal tahun
ini.
Sehingga kini, virus COVID-19 ini telah menjangkiti berjuta-juta
manusia serta telah menyebabkan kematian lebih sejuta manusia di serata
dunia. Sehingga kini juga, tiada penawar atau vaksin yang boleh
digunakan khusus bagi mengubati virus COVID-19 ini.
Memandangkan virus
COVID-19 amat berbahaya kepada kesihatan manusia serta mudah menjangkiti
manusia, kerajaan di serata dunia termasuklah kerajaan Malaysia
terpaksa mengambil langkah drastik bagi membendung penularannya.
Antara
langkah drastik yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia adalah dengan
menguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan ataupun PKP pada bulan Mac dan
April yang lalu. Melalui perintah PKP ini, semua premis perniagaan dan
tempat kerja dalam negara telah ditutup.
Penutupan premis perniagaan dan
tempat kerja telah memaksa orang ramai termasuklah para majikan dan
pekerja untuk mengunakan segala jenis kemudahan dan aplikasi moden dalam
talian bagi melakukan aktiviti kerja harian mereka.
Namun
segala kemudahan dan aplikasi moden yang telah disediakan ini tidak
digunakan sepenuhnya oleh para majikan dan pekerja di tempat kerja.
Para
majikan dan pekerja dilihat lebih selesa untuk mengadakan aktiviti
kerja mereka seperti mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi
dengan cara lama iaitu dengan bersemuka secara fizikal. Pengunaan cara
lama ini membawa kepada banyak masalah sampingan seperti pembaziran
masa, tenaga serta wang, dan lain-lain lagi.
Dengan penularan COVID-19
pada ketika ini juga, cara lama yang digunakan pakai ini boleh
mendedahkan majikan serta pekerja itu sendiri dengan bahaya virus
jangkitan COVID-19.
Perlu diingatkan, tanggungjawab bagi menjaga dan
melindungi keselamatan dan kesihatan semua pihak di tempat kerja ini
bukan sahaja telah ditentukan dari sudut tanggungjawab moral sahaja
malah ianya juga telah termaktub di bawah peruntukkan undang-undang
buruh dalam negara kita seperti yang telah termaktub di bawah Akta
Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514].
Tindakan
undang-undang yang tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak majikan
ataupun pihak pengurusan di tempat kerja yang didapati gagal melindungi
keselamatan dan kesihatan pekerja mereka sendiri.
Oleh
yang demikian, adalah penting supaya pihak kerajaan mengeluarkan satu
bentuk perintah ataupun arahan jelas bagi mengarahkan segala jenis
aktiviti kerja seperti mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain
aktiviti kerja ini dilakukan secara dalam talian sekurang-kurangnya
sehingga penawar ataupun vaksin bagi mengubati virus COVID-19 ditemui
kelak. Perintah ataupun arahan bukan sahaja hanya perlu dipakai di
kawasan yang telah diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) seperti di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah,
malah perlu dilaksanakan di seluruh negara. Pihak majikan dan pekerja
perlu belajar guna komputer serta tatacara untuk mengadakan sebarang
jenis mesyuarat, bengkel, seminar dan lain-lain lagi secara dalam
talian.
Tidak menjadi satu beban yang besar untuk pihak majikan dan
pekerja belajar mengunakan segala jenis kemudahan dan aplikasi moden ini
bagi melaksanakan urusan kerja seharian mereka.
Budak sekolah pun
dengan mudahnya tahu bagaimana hendak mengunakan komputer dan telefon
pintar pada masa kini.
Apa gunakan sekiranya pihak majikan dan pekerja
sibuk berbelanja wang yang besar beli peralatan canggih seperti komputer
dan telefon pintar sebelum penularan virus COVID-19 ini berlaku dulu
sekiranya ia tidak digunakan sepenuhnya untuk kemudahan dan manfaat
kepada diri mereka sendiri?
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.