https://critoxium.com/shop/

Terkini

MB Perak langgar perjanjian setiakawan, kata Umno negeri


MENTERI Besar Perak Ahmad Faizal Azumu sudah tidak lagi menghormati perjanjian yang dibuat oleh Bersatu, Umno, dan PAS semasa  membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) lapan bulan lalu, kata Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad.

Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu melanggar “persetujuan bertulis untuk saling hormat-menghormati” apabila melantik seorang wakil rakyat Umno sebagai setiausaha politiknya, kata Saarani.

“Sewajarnya, pelantikan mana-mana Adun, atau pemimpin Umno dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semangat setiakawan itu jelasnya bagi memastikan keadaan politik di Perak kekal stabil.

“Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan kerajaan negeri PN sudah tidak dihormati.

“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggar,” katanya.

Faizal minggu lalu melantik Adun Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim dari Umno sebagai setiausaha politiknya yang baharu menggantikan Iskandar Dzulkarnian Abdul Khalid yang diberikan tugas baharu melibatkan urusan di peringkat persekutuan.

Adun Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan setiausaha politik kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu. – Gambar Facebook, 19 Oktober, 2020.
Adun Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan setiausaha politik kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu. – Gambar Facebook, 19 Oktober, 2020.

Menjawab soalan wartawan mengenai pelantikan itu, Faizal sebelum ini berkata beliau tidak perlu mendapat kebenaran Umno untuk melantik setiausaha politiknya.

Menurut Saarani, perjanjian setiakawan mengenai pelantikan wakil parti dalam kerajaan itu merangkumi jawatan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan turut mendedahkan sebelum ini ada cubaan untuk mengubah senarai nama exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

Semalam, Pemuda Umno Perak juga mempersoalkan pelantikan Aznel sebagai setiausaha politik kepada Faizal.

Ketua Pemuda Umno Perak Mohd Ariff Abdul Majid menyifatkan pelantikan “janggal” dan “melangkaui kebiasaan” kerana melibatkan dua parti yang berbeza iaitu ahli Umno menjadi setiausaha politik kepada pemimpin kanan Bersatu.

“Umno selama ini diam”

Menurut Saarani, Umno selama ini berdiam diri kerana mengenangkan rakyat sedang berhadapan dengan kesan penularan Covid-19, dan supaya kerajaan negeri dapat memberi perhatian menangani kesan pandemik.

“Namun suasana yang cuba dibina itu tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan pihak Faizal membelakangi semangat ini,” katanya.

Setakat semalam, Perak mempunyai 98 kes aktif jangkitan Covid-19, yang bertambah ketika negara berhadapan gelombang ketiga penularan, dengan Taiping dikategorikan sebagai zon merah.

Saarani juga mengingatkan diam Umno bukan kerana parti itu lemah.

“Janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan Umno Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati.

“Pendekatan berdiam diri selama ini diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa dalam waktu pandemik Covid 19 ini.

“Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang,” katanya.

Umno mempunyai 25 kerusi daripada 59 kerusi di DUN Perak.

PN mempunyai lapan kerusi terdiri daripada lima Bersatu dan tiga PAS. Seorang wakil rakyat Gerakan dan seorang wakil rakyat bebas menyokong kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 24 kerusi, dengan DAP 16, PKR lima, dan Amanah tiga.

Faizal terpilih sebagai timbalan presiden Bersatu dalam pemilihan yang berakhir pada Ogos lalu. Beliau menang tanpa bertanding selepas pesaingnya yang juga bekas timbalan presiden Mukhriz Mahathir tersingkir dari parti kerana menyokong pembangkang.

Beliau mengangkat sumpah sekali lagi sebagai menteri besar bagi kerajaan PN pada 13 Mac, selepas pentadbiran PH yang beliau terajuinya sejak pilihan raya umum Mei 2018 runtuh akibat percaturan politik

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.