https://critoxium.com/shop/

Terkini

Umno Pas setuju daftar Muafakat Nasional, tanpa Bersatu


Kepimpinan Umno dan Pas sepakat untuk mendaftarkan Mufakat Nasional secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia namun di mana nasib Bersatu dalam pertubuhan ini tidak diketahui.

Menurut kenyataan bersama Umno dan Pas yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung 1 dan Seiausaha Agung 11 Muafakat Nasional, kepimpinan Muafakat Nasional telah bersepakat untuk memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara mereka menjelang PRU 15.

“Kepimpinan kedua-dua parti telah bersetuju untuk mendaftarkan Mufakat Nasional secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia,” kata kenyataan yang ditandatangani oleh Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan itu.

Dalam kenyataan itu, mereka juga memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Pwerunding MN yang dijadualkan semalam telah ditangguhkan ekoran wabak Covid-19.

Sebelum ini, mesyuarat Biro Politik Umno mengambil keputusan untuk mendaftarkan MN ketika dalam masa yang sama memberikan kata dua kepada Bersatu untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika syarat-syarat baru mereka tidak dipenuhi.

Bagi pemerhati politik, tindakan Umno untuk mendaftarkan MN bagi membolehkan mereka mengikat Pas kembali bersama mereka selepas Pas cuba dirampas dari Umno.

Bekas Ketua Pengarang NST, Datuk A Kadir Jasin berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memporakperandakan hubungan Pas dengan Umno selepas berjaya memecahkan Umno.

“Dia membolot jawatan kanan Kabinet untuk Bersatu dan memecahbelahkan Umno dengan melantik pemimpin junior yang umumnya bukan Ahli Majlis Tertinggi, menjadi Menteri.

“Kemudian dia memporakperandakan kerjasama Umno-Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Pada masa yang saya dia mohon keahlian MN untuk Bersatu,” kata bekas Penasihat Media kepada Perdana Menteri itu dalam tulisan di facebook beliau.

Menurut beliau, pada mulanya Umno bertolak ansur kerana matlamatnya adalah kembali berkuasa.

“Macam saya telah katakan beberapa kali, Umno tidak boleh hidup tanpa kuasa dan duit.

“Umno berasa cukup kuat dan cuba merampas kerajaan Sabah daripada Warisan dan sekutunya tetapi gagal apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan,” tulis beliau.

Seorang lagi penganalis pula berkata, Umno sangat tidak senang dengan cara Bersatu yang mencuri kepimpinan mereka dan sekarang ini menjadi ancaman sebenar kepada Umno.

“Bersatu adalah ancaman sebenar kepada Umno kerana parti itu membesar dengan mengambil kek yang kini milik Umno.

“Membesarnya Bersatu bermakna mengecilnya Umno kerana mereka merebut kumpulan sasar dan kerusi yang sama,” kata pengkaji politik pro Umno yang tidak mahu dikenali itu.

Sebelum ini, Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Datuk Seri Najib Razak berkata, akar umbi Umno mula marah kepada Bersatu ekoran kenyataan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal selepas PRn sabah yang berkata, parti itu akan berkembang bersama Pas.

“Saya diberitahu bahawa antara isu yang menaikkan kemarahan akar umbi Umno ialah kenyataan ini dari Ketua Armada PPBM selepas ADUN PPBM dilantik Ketua Menteri Sabah,” tulis Najib dalam facebook beliau kelmarin.

Dalam kenyataan itu, Wan Ahmad Fahysal berkata, rakyat lebih menyayangi PN daripada parti lain kerana tidak dibayangi dengan skandal dan masalah kronik sehingga rakyat sukar percaya.

Malah Wan Ahmad Fahsyal juga berkata, Bersatu mahu memperkukuhkan kerjasama dengan Pas untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.