https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin tebusan PAS?


 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan apabila Parlimen bersidang pada 2 November kerana melanggar SOP Covid-19 dan mengancam kesihatan dan nyawa ahli Parlimen dengan menghadiri persidangan Parlimen pada 13, 14 dan 16 Julai sedangkan beliau sepatutnya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari semasa itu.

Adakah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membentangkan usul untuk perkara ini?

Atau adakah Muhyiddin akan terus dipegang sebagai tebusan oleh Khairuddin dan para menteri dan timbalan menteri PAS, memandangkan kerajaan Muhyiddin ini akan tumbang jika PAS menarik sokongan mereka, terutamanya dalam masa di mana Umno sedang mempertimbangkan untuk menarik semula sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional dan mahukan satu tawaran baharu.

Menjadi satu perkara yang menyedihkan melihat kertas siasatan Khairuddin dilayan seperti bulu tangkis, dilempar di antara pihak polis dan Pejabat Pendakwa Raya berulang kali.

Perkara ini tidak membantu imej pihak polis langsung, untuk sebuah kes yang sangat mudah di mana siasatan ke atas kes Khairuddin ini dibuka sembilan minggu yang lalu.

Jika pihak polis tidak dapat untuk menyelesaikan siasatan mereka bagi membolehkan Bahagian Pendakwaan Pejabat Pendakwa Raya membuat keputusan, bagaimanakah rakyat hendak percaya dan yakin dengan kebolehan pihak polis untuk menyelesaikan kes-kes yang lebih rumit?

Muhyiddin sendiri mengambil masa selama seminggu sebelum memberikan sebarang komen mengenai kesalahan Khairuddin ini, mengatakan yang tidak ada sesiapa pun yang terkecuali daripada undang-undang, dan terserahlah kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara ini dan mengambil tindakan yang berpatutan.

Adakah beliau tidak peduli yang tidak ada sebarang tindakan telah diambil ke atas kes Khairuddin ini, walaupun tiga bulan sudah berlalu sejak beliau melanggar SOP kuarantin Covid-19 pada 7 Julai yang lalu?

Dalam keadaan seperti ini, persoalan mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang dipegang sebagai tebusan oleh Khairuddin dan para pemimpin PAS untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka bagi memastikan sokongan berterusan kepada beliau adalah satu persoalan yang sah dan memerlukan satu jawapan.

Dalam masa di mana wabak Covid-19 dianggap sebagai masalah terbesar negara dan juga di peringkat global, dengan lebih daripada 39 juta orang dijangkiti dan lebih daripada 1.1 juta nyawa terkorban, tidak ada mana-mana menteri yang mengingkari SOP Covid-19 layak untuk kekal sebagai menteri Kabinet.

Adakah PAS tidak mempunyai mana-mana ahli Parlimen yang lain untuk menggantikan Khairuddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi?

Saya sudah memberikan notis untuk membangkitkan isu pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin ini dalam persidangan Parlimen pada November depan.

* Lim Kit Siang adalah wakil rakyat Iskandar Puteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.