https://critoxium.com/shop/

Terkini

Risalah Rasulullah rahmat ketamadunan manusia


Oleh Datuk Abdul Aziz Jusoh

Sesungguhnya kelahiran Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu dianggap sebagai anugerah 'vaksin' kurniaan Allah SWT. Ia memberi erti cukup besar dalam sejarah kehidupan dan tamadun manusia.

Rahmat vaksin dibawa Rasulullah SAW membawa perubahan norma baharu dalam ketamadunan manusia meliputi tiga aspek utama kehidupan, iaitu akidah unggul, syariat yang syumul dan akhlak luhur.

Dalam soal akidah, Rasulullah SAW membawa perubahan besar kepada umat manusia dengan mengangkat martabat dan kemuliaan manusia daripada pandemik kejahilan yang bertunjangkan hawa nafsu, kesesatan dan penyembahan berhala kepada akidah suci yang mentauhidkan Allah, iaitu Tuhan Maha Esa yang layak disembah.

Baginda membawa risalah tauhid yang diiktiraf di sisi Allah SWT dan menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Inilah tugas utama barisan Rasul, iaitu menyeru umat manusia kepada akidah pengesaan dan pengabdian kepada Allah semata-mata.

Ia seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus sebelummu seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepada-Ku" (Surah al-Anbia, ayat 25).

Rasulullah SAW bermujahadah membawa umat manusia kepada akidah yang benar dan jalan yang lurus dengan penuh hikmah kebijaksanaan.

Lantaran itu, Islam mampu bertahan sehingga kini dan bakal bangun pada masa hadapan. Inilah sifat akidah yang menjadi tunjangan kita beragama dan menolak segala bentuk kepercayaan syirik, khurafat dan karut.

Dalam aspek syariah, vaksin dibawa oleh Rasulullah SAW berjaya merawat pandemik yang merosakkan sistem kehidupan umat manusia keseluruhannya. Daripada soal keabdian, kekeluargaan, kemasyarakatan hinggalah kepada soal pemerintahan yang penuh bertamadun.

Kita menyaksikan bahawa Rasulullah SAW begitu bersungguh-sungguh menyampaikan risalah syariat Islam bermula dengan keluarga, sahabat dan kaum, sehinggalah Islam berjaya ditegakkan sebagai sebuah sistem pentadbiran negara Islam.

Baginda benar-benar membawa keyakinan bahawa syariat Islam adalah satu vaksin yang terbaik dan sempurna untuk diamalkan dalam kehidupan manusia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "...pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu..." (Surah al-Maidah, ayat 3)

Jelaslah di sini bahawa, syariat Islam yang dibawakan oleh Rasulullah SAW adalah suatu sistem kehidupan yang komprehensif merangkumi segala aspek kehidupan manusia baik dalam sistem pentadbiran, perundangan, kewangan dan sebagainya.

Islam menetapkan standard kehidupan yang terbaik dalam mengatur perjalanan hidup manusia di muka bumi ini. Bermula daripada fasa kelahiran hinggalah berakhirnya kehidupan seseorang manusia.

Ini termasuklah aturan ditetapkan dalam hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia sesama manusia dengan penuh keseimbangan.

Tidak mungkin syariat dibawa Rasulullah SAW ini adalah satu perkara yang sia-sia dan tidak mempunyai makna, sedangkan Baginda sudah bermujahadah dan berjuang untuk kebaikan ummah yang dicintai dan demi kesejahteraan seluruh alam.

Oleh itu, menjadi kewajipan kita sebagai orang beriman untuk mengaplikasikan keseluruhan hidup di bawah naungan syariat Islam dan bukan hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya.

Dari segi akhlak pula, Rasulullah SAW berjaya menyuntik vaksin dengan mendidik umat manusia daripada jahil kepada insan mulia, daripada zalim kepada adil dan degil kepada bertimbang rasa.

Baginda menjadi teladan yang sempurna sepanjang zaman mencakupi semua aspek demi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah teladan yang baik bagi kamu yang mengharapkan rahmat Allah dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati Allah" (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Dr 'Aaid al-Qarni dalam bukunya Rahmatan li al- 'Alamin menyebut beberapa rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Pertama, Baginda adalah seorang manusia utusan Allah dan kedua, Baginda membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman. Ketiga, Baginda datang untuk mengangkat maruah umat manusia di tempat sewajarnya.

Keempat, Baginda membina satu tamadun baharu antara sekian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya. Akhir sekali, Baginda juga mengeluarkan masyarakat Semenanjung Arab yang hidup ketandusan tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, hidup menjelajah dan berpindah-pindah kepada masyarakat yang segar bugar, aman makmur dan berkembang ke seluruh pelosok bumi.

Sesungguhnya risalah Nabi Muhammad SAW berjaya menjadi vaksin yang membawa rahmat kepada kaumnya dan rahmat kepada seluruh umat manusia selepas Baginda.

Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Baginda pada mulanya kelihatan aneh dan ganjil pada pandangan hati manusia kerana wujudnya jurang yang jauh antara realiti hidup duniawi dengan realiti hidup rohani.

Namun, akhirnya terbukti risalah itu membawa rahmat kepada tamadun manusia seluruhnya. Justeru, marilah kita berpegang teguh dengan dua 'vaksin' peninggalan Rasulullah SAW, iaitu al-Quran dan sunahnya yang menjadi teras utama panduan umat seluruhnya.

Penulis adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.