Rutin pemakanan ketika bekerja di rumah
Malaysia sedang berdepan dengan gelombang ketiga COVID-19 dan sekali lagi ramai rakyat di negara ini perlu menukar rutin harian dengan mempraktikkan setiap arahan serta prosedur operasi standard (SOP) disaran kerajaan.
Jika sebelum ini, ada yang lebih 10 jam terpaksa bekerja di pejabat tetapi sekarang ramai Bekerja Dari Rumah (BDR), selain mereka boleh menghabiskan masa bersama anak kerana tidak ke sekolah sejajar dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesetengah kawasan.
Tidak kira ibu berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa, perkara utama dalam jadual mereka antaranya memasak. Jika sentiasa menempah makanan dari luar, meningkatkan perbelanjaan, jadi mahu atau tidak setiap hari aktiviti itu perlu sentiasa dilakukan.
Oleh itu, bagaimana dengan amalan pemakanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)? pastinya rutin pemakanan akan sedikit terjejas kerana ketika bekerja, kita mempunyai masa yang lebih sistematik iaitu waktu bekerja dan berhenti rehat sama ada untuk bersarapan, makan tengah hari dan minum petang.
Tetapi apabila BDR pastinya kita bekerja, jika ada anak sebahagian tumpuan diberi pada mereka, malah kerja rumah juga perlu dilakukan.
Disiplinkan waktu makan dan tidur
Pensyarah Program Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Raseetha Vani Siva Manikam, berkata rutin pemakanan pasti berubah apabila kita berada di rumah sepanjang hari.
Kata beliau, masyarakat hari ini perlu mengamalkan pengurusan masa dengan baik walaupun terpaksa bekerja, membuat kerja rumah, memasak, menjaga anak (jika berkaitan) dan hal-hal lain di rumah.
Apabila rutin harian dan masa tidak diuruskan dengan baik, pemakanan juga akan terjejas. Pengambilan tiga sajian utama (sarapan, makan tengah hari dan makan malam) amat penting dan patut diambil pada waktu yang tepat.
Oleh itu, dengan mengamalkan masa tidur yang sama untuk setiap hari (walaupun bekerja dari rumah) dapat mendisiplinkan diri dan patuh kepada pengurusan masa yang sedia ada.
"Jika kita bangun lambat, pengambilan sarapan sama ada menjadi lambat atau terus kepada sajian seterusnya (makan tengah hari).
"Begitu juga jika ada antara kita yang mengambil minuman petang yang berat, maka sajian makan malam akan beranjak waktu.
"Jika pengambilan makan malam sengaja dilewatkan, masa tidur terjejas dan rutin untuk keesokan harinya juga akan terjejas," katanya.
Berisiko dapat pelbagai penyakit
Dr Raseetha Vani menjelaskan, kecenderungan untuk makan makanan ringan lebih tinggi apabila bekerja di rumah khususnya berdepan dengan skrin komputer untuk jangka waktu yang lama.
"Makanan segera, keropok, kek, air berkarbonat, kopi, biskut dan sebagainya biasanya dijamah sambil membuat kerja di hadapan komputer.
"Tetapi, kita alpa dan lupa kandungan gula dan garam yang tinggi dalam makanan seperti ini tidak akan memberi kesan jangka pendek. Ia akan memberi kesan kepada kesihatan apabila usia kita meningkat dan penyakit seperti darah tinggi, obesiti dan kencing manis mungkin tidak dapat dielakkan," katanya.
Panduan Pinggan Sihat Malaysia
Beliau berkata, perkara yang boleh dilakukan adalah mengikuti saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang sudah mewujudkan panduan Pinggan Sihat Malaysia iaitu suku-suku separuh untuk amalan pemakanan yang sihat.
Saranan ini dikeluarkan pada 2011 selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati, Malaysia mempunyai prevalen tertinggi berlebihan berat badan (obesiti) di Asia Tenggara.
Kesannya banyak penyakit berkaitan obesiti meningkat dengan kadar pertambahan berat badan.
Dr Raseetha Vani berkata, untuk mengaplikasi saranan Pinggan Sihat Malaysia, tangan boleh digunakan sebagai panduan.
"Pinggan ini merujuk kepada saiz hidangan karbohidrat iaitu satu genggam, yang boleh dipelbagaikan dengan nasi, roti, mi atau produk bijirin.
"Saiz hidangan protein iaitu sebesar tapak tangan seperti ayam, ikan, daging, sumber kekacang, tofu, cendawan manakala saiz hidangan kombinasi buah-buahan serta sayur-sayuran adalah gabungan dua tangan atau cekup.
"Sebaiknya gantikan makanan yang kurang berkhasiat yang tinggi kandungan gula dan garam dengan buah-buahan, kurma, kismis, kekacang tanpa disalut garam dan sebagainya," katanya.
Tiada alasan orang ramai mendapatkan makanan sihat kerana terdapat pelbagai alternatif mendapatkan barangan makanan dalam talian yang boleh mengelakkan kita berada di tempat sesak.
"Ramai pengusaha mewujudkan page di Facebook dan juga group di WhatsApp agar pembeli boleh membeli barangan makanan dengan mudah.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.