Terserah saya dedahkan 121 nama Ahli Parlimen - Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebarang keputusan untuk mendedahkan nama semua 121 Ahli Parlimen yang menyokongnya adalah terletak di tangannya.
Presiden PKR itu juga berkata akan mempersembahkan semua nama berkenaan berserta surat pengesahan daripada setiap presiden parti kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada masa yang sesuai.
Beliau turut memaklumkan memberi kerjasama penuh kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), yang memanggilnya semalam untuk membantu siasatan.
"Sebanyak enam laporan polis dibuat terhadap saya berhubung dakwaan saya memperoleh 121 sokongan Ahli Parlimen daripada UMNO, Armada BERSATU dan orang perseorangan sebelum ini.
"Memang saya memberi kerjasama penuh namun saya sudah nyatakan kepada pihak polis bahawa saya selaku presiden sudah menerima surat pengesahan daripada presiden parti lain yang menyokong saya," katanya pada sidang media selepas selesai memberi proses rakaman percakapan kepada pihak polis di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, bukan kuasa polis, ahli politik atau Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) untuk memaksa dirinya mendedahkan nama Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan.
"Terserah kepada diri saya selaku presiden parti dan ia adalah keputusan saya untuk mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan keputusan polis, ahli politik atau Menteri Dalam Negeri," katanya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan masuk ke Bukit Aman sekitar jam 3 petang sebelum keluar semula kira-kira jam 5.10 petang.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.