https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tiada perjanjian ahli Parlimen berdepan tuduhan mahkamah, kata Anwar


 KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, pemimpin yang menghadapi pertuduhan di mahkamah ketika ini akan berjalan seperti biasa dan ia tidak dijadikan pertukaran untuk menyokongnya sebagai perdana menteri.

Katanya, kerajaan yang dibentuknya kelak ialah pentadbiran bersifat inklusif dan tiada agenda membalas dendam terhadap mana-mana pihak.

“Tidak ada ‘personal vendetta’ terhadap sesiapa. Saya juga sudah jelas bahawa kita komited untuk melaksanakan proses reformasi, kebebasan badan kehakiman dan keluhuran undang-undang.

“Jadi, tidak ada persoalan untuk membuat sebarang perjanjian. Ini sama sekali tidak relevan dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada rundingan dengan mana-mana pemimpin politik yang sedang berdepan pertuduhan di mahkamah.

Katanya, beliau sudah menawarkan peluang kepada Perdana Menteri yang juga Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan kerajaan baru yang bakal ditubuhkannya.

“Tetapi, setakat hari ini, masih tidak ada respons.”

Anwar mengulangi beliau tidak pernah berkomunikasi dengan Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan sokongan bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, katanya, masih ada ruang untuk pengasas Pejuang itu terbabit dalam kerajaan baru yang akan dibentuknya.

“Ini adalah kerajaan yang inklusif. Saya tidak berada dalam kedudukan untuk menolak penglibatan mana-mana pihak, dengan syarat mereka menerima polisi dan pendirian yang jelas.”

Terdahulu, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong selama sejam pagi tadi bagi mempersembahkan sokongan ahli Parlimen kepadanya untuk menubuhkan kerajaan baru.

Pada 23 Sept lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Beberapa parti dalam kerajaan Perikatan Nasional bagaimanapun menafikan memberi sokongan kepada Anwar, walaupun Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengakui ramai ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.