https://critoxium.com/shop/

Terkini

Belanjawan 2021 sudah tak boleh ditolak, PH gadai sokongan rakyat, kata Dr Mahathir


 Oleh Staff Writers

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengatakan Belanjawan 2021 sudah tidak boleh lagi ditolak di peringkat jawatankuasa seperti yang dikatakan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwa beliau sebagai mengalihkan pandangan terhadap kritikan rakyat kepada mereka.

Bekas perdana menteri itu berkata, PH yang dipimpin Anwar Ibrahim sanggup berkompromi, menolak prinsip dan menggadaikan sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.

“Apabila belanjawan dilulus tanpa tentangan di peringkat bacaan kali ke-2 di Dewan Rakyat, ini bermakna kerajaan sudah pun diiktiraf oleh pembangkang, kecuali 13 ahli yang berdiri menentang.

“Menentang di peringkat jawatankuasa, seperti yang dikata akan dilakukan, tidak akan bawa apa-apa kesan signifikan ke atas Kerajaan mahupun kepada belanjawan yang dikemuka. Ia hanya usaha untuk mengalih pandangan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang,” kata ahli Parlimen Langkawi itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam selepas penggulungan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, hanya 13 orang ahli Parlimen pembangkang bangun menuntut undi belah bahagi, kurang dua untuk mencukupkan syarat untuk undi belah bahagi dibenarkan.

Mahathir dan semua ahli Parlimen Pejuang, termasuk majoriti daripada Amanah berdiri menuntut undi belah bahagi sementara Anwar yang merupakan ketua pembangkang dan majoriti ahli Parlimen PKR dan DAP tidak berbuat demikian.

Dalam satu kenyataan petang ini Anwar berkata, masih terdapat peluang bagi PH menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.

“Walaupun rakan-rakan khususnya YB Lim Guan Eng dan YB Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya membuat keputusan sebagai ketua pembangkang serta pengerusi Pakatan Harapan untuk meminta ketua-ketua whip parti pembangkang tidak berbuat demikian.

“Ini supaya ahli-ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman menteri kewangan,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Dalam kenyataannya Mahathir berkata merasa “aneh” kerana semasa perbahasan Belanjawan 2021 semalam, bukan sahaja parti kerajaan yang sokong, tetapi sebahagian besar ahli Parlimen pembangkang menyokong.

“Ini aneh. Selama kerajaan Muhyiddin (Yassin) tertubuh, pihak pembangkang berusaha untuk menjatuhkannya dengan undi tak percaya di Parlimen.

“Tidak kurang 25 usul undi tidak percaya dikemuka. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka.

“Tetapi ini tidak berlaku. Bila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri, dua kurang daripada jumlah yang diperlukan. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara,” katanya.

Mahathir yang sudah dua kali menjadi perdana menteri berkata, rasuah sudah sampai tahap yang amat merbahaya kepada di Malaysia apabila segala-galanya boleh dibeli dengan duit, termasuk kerajaan.

“Pembangkang sanggup berkompromi dan tolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.

“Saya dan kumpulan Pejuang akan terus tolak Belanjawan ini. Ini kerana kami tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara di dalam usaha tangani masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19,” katanya.-malaysianow.com

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.