https://critoxium.com/shop/

Terkini

Masa depan Al Jazeera di KL jadi persoalan selepas tindakan kerajaan


KUALA LUMPUR: Belum pasti apakah masa depan ibu pejabat Al Jazeera di Asia Pasifik selepas pihak berkuasa enggan membaharui permit kerja 5 anggota kru televisyennya.

Lima individu itu terbabit dengan laporan kontroversi mengenai nasib pekerja asing di Malaysia semasa pandemik Covid-19.

Beberapa penerbit kanan, editor, dan penulis rangkaian itu yang tidak terbabit dengan episod “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” di 101 East kini bimbang dengan masa depan mereka di sini.

Episod itu sekitar dakwaan pihak berkuasa Malaysia mengasari pekerja asing berdokumen dan tidak berdokumen semasa serbuan ke atas lokasi-lokasi yang didiami pekerja asing itu.

Episod 25 minit itu menjadi perbualan di Malaysia ketika kerajaan dan penyokongnya menuduh Al Jazeera tersalah lapor berkenaan dakwaan pihak berkuasa menganiaya warga asing dengan alasan mengekang penularan wabak.

Pada April, beberapa hari selepas laporan itu disiarkan di Malaysia dan serata dunia, 7 kakitangan Al Jazeera disoal pihak berkuasa mengikut undang-undang hasutan. Polis juga menyerbu pejabat Al Jazeera di ibu negara dan mengambil komputer dan dokumen.

Akhirnya, ketujuh-tujuh orang yang disoal itu tidak dituduh dan rangkaian itu tidak didakwa di mahkamah, tetapi 5 anggota kru yang terbabit dalam penerbitan laporan itu diberi tempoh masa 30 hari untuk meninggalkan negara ini selepas tamat permit kerja masing-masing. Mereka sudah pulang ke Australia.

Masa depan kira-kira 12 penerbit dan penulis Al Jazeera lain, yang merupakan warga British, Amerika Syarikat, dan Singapura, menjadi persoalan. Kebanyakannya bimbang akan mengalami nasib sama seperti rakan sekerja mereka.

Difahamkan tindakan Malaysia itu menimbulkan beberapa persoalan serius yang dibincangkan pegawai-pegawai stesen itu, termasuk apakah mereka harus terus beroperasi di Kuala Lumpur.

Dalam 14 tahun ini, Al Jazeera Kuala Lumpur menempatkan pasukan editorial bahasa Inggeris dan Arab yang besar, termasuk wartawan dalam talian. Ia juga mempunyai lebih daripada sedozen kakitangan warga tempatan dalam pengurusan, akaun, dan kejuruteraan.

Sebelum stesen itu dilancarkan pada 2006, pengarah urusan Al Jazeera International, Nigel Parsons, dalam satu temubual dengan akhbar tempatan berkata Kuala Lumpur dipilih dan bukannya Hong Kong atau Singapura kerana Malaysia “pilihan terbaik dengan penduduk yang fasih berbahasa Inggeris dan prasarana yang bagus. Suasana di Kuala Lumpur begitu bertenaga dan mengasyikkan”.

Kini, tindakan pihak berkuasa Malaysia itu mungkin memaksa penyiar antarabangsa itu mengkaji semula skala operasinya di Kuala Lumpur atau berpindah ke negara lain di rantau ini.

“Al Jazeera berdepan tekanan hebat daripada kerajaan Malaysia selepas episod itu disiarkan, diikuti dengan serangan rakyat Malaysia di media sosial, dan siasatan ke atas 7 penerbit, editor, dan jurukamera atas dakwaan hasutan.

“Banyak laporan polis dibuat terhadap rangkaian itu susulan kemarahan orang ramai terhadap Al Jazeera kerana episod itu.

“Saya tak pasti bolehkah terus beroperasi di sini memandangkan keadaan itu, kecuali layanan kerajaan terhadap media berubah,” kata sumber.

“Locked Up in Malaysia” mendapat pujian di peringkat antarabangsa dan disenarai pendek untuk anugerah One World Media untuk laporan berkaitan virus korona bagi 2020.

Kerajaan sebelum ini menjadikan operasi Al Jazeera di Kuala Lumpur sebagai testimoni kebebasan akhbar di negara ini.

“Apa yang ironik adalah Al Jazeera pernah membuat beberapa laporan tentang pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, dan menyebut nama timbalan perdana menteri ketika itu, Zahid Hamidi, dalam laporan tentang dakwaan rasuah dalam isu pengambilan pekerja asing. Tetapi ia tidak kena apa-apa tindakan pun,” kata sumber.

Pengarah Urusan Al Jazeera di Doha, Giles Trendle, ketika dihubungi FMT enggan mengulas.

FMT juga cuba menghubungi Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, untuk mendapatkan komennya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.