https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rakyat bergantung harap tapi Belanjawan 2021 lompong di sana sini


Oleh ABDUL HAKAM JAMALUDDIN 

Ketika ini negara sedang berhadapan krisis pandemik Covid-19 yang akan berlarutan untuk tempoh yang lama. Keadaan ini tidak hanya menjejaskan mutu kesihatan rakyat tetapi turut terkesan adalah sumber pendapatan rakyat dan ekonomi negara.

Oleh sebab itu, ramai rakyat mengharapkan Belanjawan 2021 dapat memberi harapan kepada mereka untuk tahun hadapan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Sebelum pembentangan belanjawan tersebut, kita seharusnya memahami sikap rakyat dalam berhadapan dengan situasi semasa. Apa yang paling penting bagaimana pihak yang berkepentingan dapat mempengaruhi rakyat untuk yakin dan percaya bahawa mereka boleh melalui keadaan yang sukar sekarang ini.

Ketika ini rakyat tidak mahu orang politik sengaja mewujudkan krisis politik kembali dalam hal berkaitan perebutan kuasa. Hal ini kerana mereka terkesan apabila kes Covid-19 makin meningkat selepas Pilihan raya Negeri Sabah.

Kesan peningkatan ini juga menyebabkan sektor perniagaan makin mengecilkan saiz perniagaan, bahkan ada yang gulung tikar. Akibatnya pengangguran makin meningkat.

Maka, apa yang diharapkan melalui Belanjawan 2021 ini ialah pihak kerajaan dapat menjana sepenuhnya peluang pekerjaan buat rakyat, dan mengurangkan pemberhentian kerja oleh pihak swasta.

Bagi menjana pendapatan rakyat bawahan, sektor ekonomi industri kecil dan sederhana perlu dipertahankan. Penting bagi rakyat mempunyai kuasa beli bagi menggerakkan ekonomi.

Pada masa yang sama juga keutamaan peruntukan kesihatan perlu ditambah. Hal ini kerana semakin hari, kadar pesakit yang bergantung dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan awam semakin meningkat.

Semakin ramai tidak mampu lagi untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital swasta. Bahkan ketika ini, dalam keadaan tertentu ada pesakit yang tidak mendapat bekalan ubat yang mencukupi di hospital kerajaan kerana kekurangan bekalan.

Bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan negara, adalah wajar golongan petani, peladang dan nelayan diberikan bantuan secukupnya. Peranan golongan ini dilihat penting supaya pengeluaran sumber makanan negara tidak terjejas.

Hal ini kerana negara masih terlalu sangat bergantung import makanan dari luar. Mereka juga boleh dianggap sebagai barisan hadapan (frontliners) demi memastikan kelangsungan hidup seluruh rakyat Malaysia.

Kepentingan kemudahan jaringan untuk mengakses pendidikan perlu diutamakan. Pendidikan adalah teras hidup rakyat. Memandangkan sekolah-sekolah masih ditutup akibat Covid-19, kaedah pembelajaran atas talian telah dilaksanakan.

Namun, tidak semua murid dan pelajar terutama luar bandar berkemampuan memiliki komputer riba atau telefon bimbit bagi tujuan pembelajaran. Kerajaan wajar menyediakan alat bantu belajar ini supaya tiada murid dan pelajar terlepas dari meneruskan pembelajaran mereka. Tidak hanya dengan itu, kemudahan infrastruktur pemancar komunikasi perlu segera ditingkatkan.

Hakikatnya ramai pihak tidak berpuas hati dengan Belanjawan 2021, kerana terdapat kelompongan di sana sini. Namun, diharapkan pada awal suku tahun hadapan kerajaan akan mengkaji dan membentangkan belanjawan tambahan bagi 2021.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.