https://critoxium.com/shop/

Terkini

1MDB: Tony Pua bertegas tetap saman Najib

 


SHAH ALAM - Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee bertegas untuk meneruskan saman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan salah laku sebagai pegawai awam berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik laporan portal Free Malaysia Today, Tony berkata, saman yang difailkan beliau pada empat tahun lalu itu bukanlah bersifat peribadi tetapi sebaliknya bertujuan bagi memelihara kepentingan awam.

“Bukan untuk saya bagi menyelesaikan secara baik dengan Najib. Ini saman berkait kepentingan orang ramai untuk menyatakan Najib bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami kerajaan akibat tindakannya, sama ada rasuah, khianat amanah atau cuai,” katanya pada Rabu.

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi mencadangkan supaya kes saman difailkan Tony terhadap Ahli Parlimen Pekan empat tahun lalu itu atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam berkaitan 1MDB diselesaikan secara baik.

Peguam, Tan Cheng Leong yang mewakili Tony berkata, Hakim Datuk Rozana Ali Yusof meminta supaya pihak-pihak terlibat berbincang untuk mencari penyelesaian terhadap kes tersebut.

Turut mengesahkan perkara itu adalah Peguam, Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili Najib yang turut memaklumkan penetapan tarikh 25 Februari untuk pengurusan kes selanjutnya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, tindakan Najib yang masih tidak mahu mengakui dan mengambil tanggungjawab atas perkara tersebut juga menyebabkan penderitaan rakyat Malaysia.

“Oleh itu tidak ada sebab untuk penyelesaian dijalin. Kami akan maklumkan begitu kepada mahkamah,” katanya.

Pada 6 Januari tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman sivil itu sementara menunggu perbicaraan kes jenayah 1MDB yang dihadapinya selesai.

Dalam perbicaraan kes 1MDB, pasukan pembelaan peguam akan menyambung soal balas terhadap saksi pendakwaan ke-10 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman, 47, pada perbicaraan yang akan bersambung 8 Februari ini.

Tony memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari 2017 atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Tony mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau ialah Ahli Parlimen Pekan, Perdana Menteri pada ketika itu dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB manakala dalam kapasiti berkenaan, beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan serta hala tuju 1MDB.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak saman Tony atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam dan Ahli Parlimen Damansara itu gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Tony mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 19 November 2019, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib semasa menjadi Perdana Menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan Tony boleh meneruskan samannya terhadap Najib serta kerajaan Malaysia melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.