Ahli Parlimen pembangkang gesa moratorium pinjaman 6 bulan
BEBERAPA ahli Parlimen pembangkang mahu Putrajaya memberikan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan sama seperti yang diperkenalkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.
Dalam satu kenyataan bersama, 25 ahli Parlimen pembangkang berkata walaupun PKP 2.0 baru saja dilanjutkan, rakyat Malaysia masih belum menyaksikan penurunan jumlah kes Covid-19.
“Ini akan menghilangkan keresahan dan birokrasi dengan segera. Industri Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman mereka seperti biasa.
“Moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan akan meningkatkan aliran tunai kepada ekonomi dan merancakkan aktiviti sektor berkenaan,” kata mereka.
Ahli Parlimen pembangkang berkata, dengan cara ini individu dan PKS akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan,
Malah kata mereka langkah ini juga akan menggalakkan mereka mengekalkan atau mungkin menambah lebih ramai pekerja (bukannya membuang pekerja) sepanjang menghadapi pandemik ini.
“Kini kadar penggangguran meningkat dengan mendadak. Sekiranya tidak ada tindakan yang lebih agresif, lebih banyak industri PKS yang bakal mengalami kerugian dan akan mengakibatkan kehilangan lebih banyak pekerjaan.
“Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, kami menggesa kerajaan untuk segera melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik untuk tempoh 6 bulan seperti yang dilakukan semasa PKP 1.0,” kata mereka.
Pada Khamis lepas kerajaan mengumumkan lanjutan PKP di tujuh negeri sehingga 4 Februrari.
Negeri-negeri yang terjejas adalah Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sabah, Melaka, Kelantan dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
Ahli Parlimen pembangkang berkata keyakinan pelabur dalam dan luar negara berada di tahap paling bawah.
“Pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan oleh perdana menteri pada 18 Januari 2021 baru-baru ini hanyalah bersifat kosmetik dan tidak memadai berbanding kesan daripada PKP 2.0 dan Darurat,” katanya.
Ahli Parlimen itu juga meminta Putrajaya meningkatkan kadar subsidi upah Perkeso sebanyak RM600 bagi setiap pekerja berpendapatan di bawah RM4,000 dan melanjutkannya sekurang-kurangnya sehingga enam bulan.
“Jumlah subsidi RM600 sebulan yang diberikan sekarang tidak memadai dalam menghadapi PKP 2.0 dan darurat yang telah menunjukkan kesannya ke atas beberapa sektor.
“Subsidi upah selama tempoh 6 bulan akan menggalakkan para majikan untuk tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga separuh tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai.
“Bagi sesetengah yang lain, ini juga mungkin mendorong mereka untuk mengambil pekerja semula,” katanya.
Mereka berkata kerajaan harus mengambil langkah yang luar biasa juga untuk menyelamatkan sektor pekerjaan.
“Peningkatan jumlah penggangguran bakal merugikan negara sehingga tidak ada lagi pakej rangsangan yang mungkin dapat membantu kita pada masa depan,” katanya.
Menurutnya kelemahan, ketidakcekapan dan ketidakstabilan politik kerajaan Perikatan Nasional menyebabkan Malaysia menjadi kurang kompetitif dan kalah dengan negara jiran Asean dalam menarik pelabur asing.
“Kekal dengan sindrom penafian dan kedegilan untuk merubah sesuatu yang lebih berkesan untuk sektor perniagaan hanyalah paku keranda terakhir untuk ekonomi kita yang parah dan berdarah,” katanya.
Kenyataan ini ditandatangani oleh:
1. Darell Leiking (Penampang)2. Syed Saddiq (Muar)
3. Mohd Azis Jamman (Sepanggar)
4. Hannah Yeoh (Segambut)
5. Yeo Bee Yin (Bakri)
6. Baru Bian (Selangau)
7. Rozman Isli (Labuan)
8. Salahuddin Ayub (Pulai)
9. Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu)
10. Teo Nie Ching (Kulai)
11. Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud)
12. Mahfuz Omar (Pokok Sena)
13. Khalid Samad (Shah Alam)
14. Tengku Zulpuri Shah Bin Raja Puji (Raub)
15. Maria Chin (Petaling Jaya)
16. Wong Shu Qi (Kluang)
17. Teresa Kok (Seputeh)
18. Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor)
19. Dr Lee Boon Chye (Gopeng)
20. Kasthuriraani Patto (Batu Kawan)
21. P. Prabakaran (Batu)
22. M. Kulasegaran (Ipoh Barat)
23. Chong Chieng Jen (Stampin)
24. Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (Merbok)
25. Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh)




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.