https://critoxium.com/shop/

Terkini

DAP jadi ‘punching bag’ tutup kelemahan pentadbiran PN


Setiap kali berlaku pergaduhan antara parti-parti Perikatan Nasional (PN), setiap kali itu jugalah nama DAP diperalatkan, kata Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

ADUN Paloh berkenaan berpendapat tindakan Umno sebagai parti yang menunggang nama Melayu sangat melucukan walaupun DAP bukan lagi sebahagian dari kerajaan selepas Langkah Shareton.

“Ini gambaran bahawa mereka sangat lemah. Kononnya hebat, tetapi terpaksa bersandar pada DAP untuk dijadikan ‘punching bag’ bagi menutup kelemahan pentadbiran mahupun perbalahan dalaman.

“Apatah lagi dalam keadaan kerajaan yang ditadbir tanpa majoriti ini,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau yang juga Ketua Pemuda DAP Johor berkata demikian mengulas kenyataan Annuar Musa berkaitan tiga sebab mengapa Umno perlu tolak DAP seperti dilaporkan muka hadapan Sinchew Daily edisi malam, kelmarin.

“Antara intipatinya, jika Umno berkerjasama dengan DAP, Umno akan kalah semua kerusi dalam PRU15.

“Turut sependapat ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggunakan alasan sama lantas mencetuskan Langkah Sheraton setahun yang lalu,” katanya.

Walaupun dijadikan punchbag, kata Sheikh Umar berkata, DAP terus istiqamah membantu rakyat pada masa kritikal ini.

“Rakyat terpaksa berhadapan dengan banjir, Covid-19 dan tekanan ekonomi.

“Fokus DAP ketika ini ialah untuk istiqamah membantu rakyat dan membantu golongan kurang bernasib baik.

“Bukan mencari pihak ketiga untuk dipersalahkan, bagi menutup kelemahan diri sendiri,” kata Sheikh Umar lagi.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.