Hanya Bersatu, Pas dilantik jadi 14 pengerusi negeri, Umno terbuang
Ketegangan Umno dan Bersatu dilihat terus memuncak dengan melihat kepada barisan 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) yang dilantik hari ini.
Kesemuanya hanya melibatkan pemimpin Bersatu dan Pas dengan langsung tiada sama sekali Umno walaupun parti berlambangkan keris itu memiliki kerusi Parlimen paling banyak dalam kerajaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan di Facebook beliau, memaklumkan semua lantikan dibuat oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi PN selepas bermesyuarat bersama Majlis Tertinggi PN.
Muhyiddin yang jugaPresiden Bersatu dilantik sebagai Pengerusi BPN Johor.
Daripada 14 Pengerusi BPN PN, hanya empat negeri diterajui Pas iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
“Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula dipilih mengetuai BPN Terengganu, manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilantik sebagai Pengerusi BPN Kelantan.
“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi BPN Selangor dan Timbalan Presiden BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi BPN Perak,” katanya.
Beliau berkata mereka yang lain adalah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah), Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (Sabah), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (Pahang).
Selain itu, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, Datuk Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya (Pulau Pinang).



Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.