Adibah Noor tampil betulkan sebutan bahasa Inggeris Rina Harun
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun kembali menjadi buah mulut warganet selepas dilihat kekok memberi ucapan dalam bahasa Inggeris menerusi satu persidangan secara maya baru-baru ini.
Menyedari kekoknya Rina ketika berucap dalam persidangan Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CSocD59), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Sesi ke-59, pelakon dan penyanyi Adibah Noor mengambil inisiatif memperbetulkan sebutan Rina.
Menerusi Twitter, Adibah memuat naik klip video cara sebutan yang betul bertujuan untuk berkongsi ilmu dengan pengikutnya di laman tersebut.
“Saya akui, penulis skrip (ucapan Rina) sangat bagus dan saya harap saya dapat membacanya sendiri.
“Apa-apa pun, mari kita belajar menyebut perkataan ini, 'doubt' (keraguan). Saya dah pernah buat video tentang ini tapi mungkin anda dah lupa.
“Jadi cara nak sebutnya (doubt) hilangkan bunyi ‘b’ bukan, dup, daob, dib tapi d-out,” ciapnya beserta tanda pagar #Pronunciation, #BetulkanYangBiasa dan #BiasakanYangBetul.
Perkongsian penyanyi lagu Terlalu Istimewa, itu menerima lebih 6,000 ulang ciap dan hampir 9,000 tanda suka.
Sebelum ini, ramai meluahkan rasa terkejut dengan penampilan baru Rina yang dilihat semakin kurus dan bergaya.
Terdahulu, Rina turut menjadi sohor di media sosial setelah dilihat menjadi model dan memperagakan busana baju kurung klasik pereka fesyen terkenal ManKajang.
Bagaimanapun, tindakan anggota parlimen Titiwangsa itu menerima kecaman netizen.
Malah, bekas ketua pegawai eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Che Asmah Ibrahim terkedu apabila pejabat menteri yang menjadi tempat untuk menguruskan segala urusan rakyat kini dijadikan studio penggambaran fesyen.
“Macam tak percaya apa yang saya lihat. Bukan terpukau dengan kecantikan YB Menteri tetapi terkedu bila Pejabat Menteri dijadikan studio pengambaran fesyen dan YB Menteri pula sudah menjadi model,” tulisnya di akaun Facebook.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.