Agihan vaksin Covid-19 terdedah penyelewengan, salah guna kuasa
Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menyarankan kerajaan di seluruh dunia agar memastikan akauntabiliti diamalkan dalam memperuntukkan jumlah dana yang besar bagi menangani pandemik Covid-19.
Projek Laporan Rasuah dan Jenayah Terancang (OCCRP) melaporkan, beberapa pemimpin politik bergantung kepada pandemik ini bagi meningkatkan kuasa mereka, mengenakan sekatan terhadap maklumat yang sukar dicapai, menghapuskan keperluan ketelusan daripada perolehan awam dan mengelakkan mekanisme akauntabiliti awam.
Seperti negara-negara lain, Malaysia mengumumkan inisiatif fiskal bagi menangani isu-isu penting antaranya peningkatan pengangguran, program kebajikan sosial dan memenuhi keperluan segera kesihatan. Dalam kesamaran ekonomi, masyarakat amat mengharapkan bantuan daripada kerajaan.
Berdasarkan laporan dalam media massa, sehingga Disember lalu, kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion bagi menampung impak Covid-19.
Antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Kita Prhatin dan Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional.
Dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang tidak dirancang dan disangka ini, kebanyakan negara melonggarkan kaedah sedia ada untuk perolehan awam serta semak dan imbang bagi menyediakan bantuan dan pertolongan secepat mungkin.
Kajian oleh Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) menunjukkan terdapat beberapa penipuan yang secara umum meningkat ketika kemelesetan ekonomi.
Pandemik ini menunjukkan perkara-perkara berkaitan kecemasan dan tindak balas cepat membuka peluang untuk pencabulan integriti terutama penipuan dan rasuah. Jumlah peruntukan yang besar mendedahkan kepada ketirisan hingga boleh menjejaskan keberkesanan tindakan kerajaan yang sepatutnya.
Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan, perolehan perubatan dan bekalan dalam sistem kesihatan merupakan bahagian paling terdedah terhadap rasuah dan penipuan. Disebabkan terdapat mekanisme bagi membolehkan mendapatkan barangan dan perkhidmatan penting, individu-individu korup akan cuba menggunakan modal kekurangan bekalan perubatan dan kesihatan.
Mereka melihat perkara ini sebagai peluang keemasan untuk mengambil kesempatan bagi kepentingan peribadi.
Ketelusan dalam melaksanakan mobilisasi imunisasi secara besar-besaran dan pengagihan vaksin secara telus adalah antara yang perlu diberikan perhatian serius untuk mengelak penyelewengan dan salah guna kuasa.
Apakah faktor yang menyumbang kepada penipuan ini? Segi Tiga Penipuan Cressey menyatakan, terdapat tiga elemen membolehkan penipuan berlaku.
Pertama, tekanan yang meningkat daripada keperluan mendapatkan tindakan pantas, campur tangan politik dan kewangan peribadi disebabkan elemen seperti tabiat gaya hidup atau mewah.
Kedua, peluang termasuk kawalan dalaman lemah, suara lemah di peringkat atasan dan terlalu banyak kuasa budi bicara yang datang bersama pangkat. Ketiga, rasional dalam melihat semua orang melakukan perkara sama dan percaya tindakan mereka betul.
Disebabkan penglibatan jumlah wang pembayar cukai yang banyak, apa patut dilakukan oleh kerajaan bagi mengelak ketirisan dalam perolehan awam dan proses penghantaran serta memastikan pencapaian dinyatakan tercapai secara berkesan?
Terdapat kaedah jangka pendek dan jangka panjang boleh diambil bagi mengelak masalah menjadi lebih teruk dan bersedia lebih baik bagi menghadapi krisis akan datang. Amat penting yang kaedah teguh dan telus bagi peruntukan bantuan ekonomi tidak dipintas atau terjejas.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) memberi amaran, ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh hilang dalam memberi tindak balas pantas terhadap Covid-19. Meletakkan kaedah dan akauntabiliti yang betul bukan sahaja dapat mengelakkan rasuah tetapi juga untuk membina semula kepercayaan.
Ketelusan kerajaan dan peningkatan institusi pengawasan ialah asas bagi memastikan pengurusan kontrak mempunyai susunan akauntabiliti dalaman yang jelas dan teguh. Kontrak sepatutnya diberikan kepada kontraktor yang mempunyai bukti kebolehpercayaan dan rekod baik dari segi teknikal dan kewangan.
Usaha wajar yang mencukupi perlu diambil apabila memilih kontraktor bagi mengurangkan potensi risiko terutama kerugian akibat harga melampau dan penangguhan projek disebabkan kurang pengalaman. Ia harus diberikan perhatian kerana rakyat mengharapkan nilai wang daripada kontrak kerajaan walaupun semasa krisis.
Dari segi sosioekonomi, kerajaan perlu menyediakan sokongan fiskal bagi melindungi pemegang taruh yang terkesan secara terus ketika pandemik. Mereka yang terjejas adalah pekerja gaji harian, syarikat kecil dan sederhana dan keluarga berpendapatan rendah.
Dalam hal ini, Ketua Audit Negara dan beberapa unit audit dalaman di sektor awam perlu terus melakukan tugas tanpa menjejaskan prinsip mereka. Contohnya, perbelanjaan yang tiada kaitan dengan Covid-19 perlu dilaporkan terutaman mereka yang terlibat dengan barisan hadapan.
Penelitian ini boleh disokong dengan pemantauan dan laporan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media sekiranya terdapat jaminan kebebasan media dan capaian mudah bagi maklumat relevan.
Sebagai penjawat awam, mereka perlu memainkan peranan dengan tangggungjawab, integriti dan amanah. Ketiadaan akauntabiliti dan integriti organisasi membuka pintu kepada rasuah menyebabkan kos tinggi kepada semua yang terlibat. Kita tidak mahu mengulangi kes-kes profil tinggi terdahulu yang merosakkan tadbir urus negara.
Amat malang, walaupun sudah berdekad berperang dengan rasuah, perbuatan sebegini masih berleluasa.
DATUK Seri Akhbar Satar ialah Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.