https://critoxium.com/shop/

Terkini

Rejab bulan berpuasa sunat


Oleh HAIRUL NIZAM MAT HUSAIN

Allah SWT memberikan kepada kita satu nikmat iaitu dapat bertemu dengan bulan Rejab. Ia adalah satu daripada empat bulan Haram iaitu bulan-bulan yang begitu dimuliakan oleh Allah SWT.

Empat bulan tersebut adalah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.

KELEBIHAN BULAN HARAM

Empat bulan ini bukan sahaja dimuliakan oleh Islam bahkan turut dimuliakan oleh masyarakat Arab sebelum kedatangan Nabi SAW sehingga mereka yang terkenal dengan peperangan sesama kabilah akan melakukan gencatan senjata pada empat bulan ini.

Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan (yang telah termaktub) di dalam kitab Allah (iaitu Lauh Mahfuz) pada hari Dia telah menciptakan langit-langit dan bumi. Di antaranya adalah empat bulan haram. Itu (iaitu penghormatan empat bulan tersebut) adalah (ajaran) agama yang berdiri teguh. Maka kalian semua janganlah menzalimi diri-diri kalian pada empat bulan tersebut (dengan melakukan dosa)... (al-Taubah: 36)

PAHALA DAN DOSA BERGANDA

Para ulama menyatakan ayat ke-36 daripada surah al-Taubah di atas menunjukkan dosa yang dilakukan pada empat bulan di atas akan dilipat gandakan berbanding maksiat yang dilakukan pada bulan-bulan lain.

Demikian juga ibadah pada empat bulan tersebut juga akan dilipat gandakan pahalanya berbanding ibadah pada selain empat bulan haram tersebut.

Al-Imam al-Qurtubiyy ketika menafsirkan ayat ini berkata: “Janganlah kalian pada empat bulan haram ini menzalimi diri-diri kalian dengan melakukan dosa-dosa kerana sesungguhnya Allah SWT apabila Dia telah memuliakan sesuatu dari sudut yang satu, maka perkara tersebut sudah memiliki kehormatan yang satu. Apabila Dia memuliakan sesuatu dari dua sudut atau dari sudut-sudut (yang banyak), maka jadilah kehormatan perkara tersebut berbilang-bilang. Maka dosa padanya akan berlipat ganda dengan sebab (melakukan) amalan yang buruk sebagaimana pahala (juga) akan berlipat ganda dengan sebab (melakukan) amalan yang baik.

“Maka sesungguhnya sesiapa yang mentaati Allah pada bulan Haram di tanah haram, pahalanya bukanlah (seperti) pahala sesiapa yang mentaati-Nya pada bulan haram di tanah halal. Sesiapa yang mentaati-Nya pada bulan halal di tanah haram, pahalanya tidaklah (seperti) pahala seseorang yang mentaati-Nya di bulan halal di tanah halal”.

Perkara ini diisyaratkan oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: Wahai para isteri Nabi. Barang siapa daripada kalangan kalian yang mendatangi perbuatan yang jelek yang terang nyata, azab akan dilipat gandakan buatnya sebanyak dua kali ganda”. (al-Ahzab: 30)

DOA RASULULLAH SAW APABILA TIBA REJAB

Rasulullah SAW berdoa agar Allah memberkati apa sahaja buat Baginda apabila tiba bulan Rejab. Ini direkodkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal dengan sanad beliau: daripada (Saidina) Anas bin Malik, beliau telah berkata: Nabi SAW satu ketika dahulu apabila masuk sahaja (bulan) Rejab, baginda telah bersabda: “Ya Allah. Berkatilah buat kami pada (bulan) Rejab dan Syaaban. Berkatilah (juga) buat kami pada bulan Ramadan (nanti)”.

GALAKAN BERPUASA

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam membanyakkan puasa pada bulan-bulan Haram termasuklah bulan Rejab. Ini direkodkan oleh al-Imam Abu Daud di dalam Sunan Abi Daud dengan sanad beliau:

Daripada Mujibah al-Bahiliyyah, daripada ayah beliau atau daripada pak cik beliau daripada sebelah bapa bahawa sesungguhnya beliau telah mendatangi Rasulullah SAW. Kemudian beliau telah bertolak (pulang ke kampung halaman beliau). Lalu beliau telah mendatangi (semula) Baginda selepas (berlalu) setahun dalam keadaan rupa paras beliau dan keadaan beliau sudah berubah.

Lalu beliau telah berkata: “Wahai Rasulullah. Adakah anda tidak mengenali saya”? Baginda telah bersabda: “Siapakah anda”? Beliau telah berkata: “Saya adalah al-Bahiliyy yang telah mendatangi anda pada tahun pertama”. Baginda bersabda: “Apakah yang telah mengubah (rupa paras) anda sedangkan anda dahulu seorang yang bagus rupa paras”? Beliau berkata: “Saya tidak makan sebarang makanan melainkan hanya pada waktu malam sejak saya berpisah dengan anda”.

Baginda bersabda: “Kenapa anda telah mengazab diri anda”. Kemudian Baginda bersabda: “Berpuasalah pada bulan kesabaran (Ramadan) dan pada satu hari (sahaja) daripada setiap bulan”. Beliau telah berkata: “Tambahlah untuk saya kerana saya memiliki kekuatan (untuk berpuasa lebih daripada itu)”.

Baginda bersabda: “Berpuasalah pada dua hari (daripada setiap bulan)”. Beliau telah berkata: “Tambahlah (lagi) untuk saya”. Baginda telah bersabda: “Berpuasalah pada tiga hari (daripada setiap bulan)”.

Beliau berkata: “Tambahlah (lagi) untuk saya”. Baginda telah bersabda: “Berpuasalah (pada hari-hari) daripada (bulan-bulan) haram dan tinggalkanlah (puasa pada beberapa hari daripada bulan-bulan haram). Berpuasalah (pada hari-hari) daripada (bulan-bulan) haram dan tinggalkanlah (puasa pada beberapa hari daripada bulan-bulan haram). Berpuasalah (pada hari-hari) daripada (bulan-bulan) haram dan tinggalkanlah (puasa pada beberapa hari daripada bulan-bulan haram)”.

SUNGAI LEBIH PUTIH DARIPADA SUSU

Orang yang berpuasa Rejab walaupun sehari akan diberi minum di syurga sungai yang lebih manis daripada madu dan lebih putih daripada susu. Ini berdasarkan hadis daif yang diriwayatkan oleh Imam al-Bayhaqiyy di dalam kitab Fadhoil al-Awqot.

HUKUM PUASA SEBULAN REJAB

Syeikhul Islam al-Imam Zakariyya al-Ansoriyy di dalam kitabnya, Asna al-Matolib menjelaskan persoalan ini dengan berkata: “Seafdal-afdal bulan untuk berpuasa selepas Ramadan adalah bulan-bulan Haram (iaitu) Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab berdasarkan hadis (yang diriwayatkan oleh al-Imam) Abu Daud dan selain beliau (bahawa Rasulullah SAW bersabda): Berpuasalah (pada hari-hari) daripada (bulan-bulan) Haram dan tinggalkanlah (puasa pada beberapa hari daripada bulan-bulan Haram). (Baginda mengulanginya tiga kali)

Baginda hanya meminta (sahabat) yang berbicara dengan Baginda untuk meninggalkan (puasa) kerana membanyakkan puasa telah menjadi satu keberatan kepada beliau. Ia sebagaimana dijelaskan dalam hadis itu.

Sesiapa yang membanyakkan puasa pada seluruh bulan Haram adalah satu kelebihan baginya.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi, Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.