https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hadi minta anak bawa laptop ke IJN


Walaupun sedang dirawat di hospital nampaknya Presiden PAS tetap bersemangat untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Justeru dari dalam wad Institut Jantung Negara (IJN) duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu berpesan kepada anaknya agar datang membawa komputer riba dan wi-fi.

Hal itu diceritakan sendiri oleh anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil.

Melalui hantaran di Facebooknya Muhammad Khalil menceritakan dialog Abdul Hadi kepadanya: "Ley, kalu mari jangan lupa bawak laptop dan internet (broadband portable wifi) ayah yer. Tak puas sangat duduk kat wad nie, boleh ayah ikuti berita dan buat kerja”.

Dimuat naik di media sosial lewat petang ini, Muhammad Khalil berkata, kata-kata itu diucapkan Abdul Hadi "sebentar tadi" dan dengan "nada yang bersemangat".

Untuk rekod Abdul Hadi dikejarkan ke Hospital Putrajaya apabila mengalami masalah sesak nafas pada malam tadi sebelum dipindahkan ke IJN.

Bagaimanapun beberapa pemimpin PAS memberitahu melalui media sosial, ahli parlimen Marang itu berada dalam keadaan stabil dan mungkin kepenatan menyebabkan jantungnya lemah.

Pagi ini juga Muhammad Khalil memberitahu Malaysiakini bapanya memerlukan rehat selepas melalui jadual yang padat.

"Saya baru bercakap dengan ayahanda tuan guru sebentar tadi. Keadaannya stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.

"Mohon doa dari semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah," katanya. 

Dalam hantaran petang ini pula Muhammad Khalil turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan Abdul Hadi.

"Terima kasih atas ucapan dan doa daripada semua pihak dan memahami keadaan semasa agar Tuan Guru dapat rehat secukupnya," kata Adun Batu Buruk itu.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.