RUU355: Aku tanya apa khabar?
Oleh RAYUSA
Selepas hampir setahun menjadi kerajaan, Pas kian menunjukkan ia memang semakin teruk. Sikap dan sifatnya sudah berubah 360 darjah.
Mengapa melatah, misalnya, apabila pembangkang (PH) bertanya mengenai RUU355? Siapa pun boleh bertanya, apatah lagi RUU355 dan hudud memang amat relevan dengan Pas.
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari membidas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertanya khabar RUU355 pada 7 Februari lalu.
Menerusi akuan Facebooknya, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH bertanya mengapa tiada desakan daripada ahli Parlimen Pas berhubung pindaan RUU355 (Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965).
Menurut Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, masih tiada kertas Kabinet untuk melaksanakan RUU355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang Kerajaan PN.
Saifuddin secara sinis menyatakan majoriti ahli Kabinet Kerajaan PN sekarang ialah Melayu Islam. Hari ini, katanya, sebuah kerajaan Melayu Islam terbentuk (abaikan walaupun dengan jalan khianat).
Menteri agama, tambah Saifuddin, (ialah) bekas mufti, sementara menteri undang-undang pula dari parti Islam (Pas). Memang majoriti ahli Kabinet Kerajaan PN ialah Melayu Islam. Beliau maksudkan begitu dengan menolak Datuk Seri Ir Wee Ka Siong (Presiden MCA), Datuk Seri M Saravanan (ahli MIC), dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (ahli Bersatu). Peguam Negara, tambah Saifuddin, bukan lagi Tan Sri Tommy Thomas, tetapi Tan Sri Idris Harun, seorang Muslim. Jadi, sindirnya, dengan kuasa politik di tangan kerajaan Melayu Islam, apa lagi masalahnya?
Tidak dibentangkan dalam Kabinet, tambah Saifuddin, ertinya tidak juga dibentangkan dalam Parlimen. Katanya, tiada sekelumit pun desakan daripada 18 ahli Parlimen Pas, termasuk Marang (Ahli Parlimennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas) di Dewan Rakyat.
Saifuddin hairan mengapa RUU355 tidak boleh dilaksanakan. Tambah beliau, adakah kerana kuasa politik pada peringkat kerajaan pusat.
Justeru, atas prinsip memperjuang hukum Islam, tegas Saifuddin, Ahli Parlimen Marang wajar membentangkannya sebagai rang undang-undang persendirian.
Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas ternyata tidak senang dengan pertanyaan Saifuddin itu. Beliau menganggap Saifuddin bersungguh-sungguh mahukan pelaksanaan RUU355, berbanding semasa berada dalam Kerajaan PH dahulu (22 bulan).
Kata Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran|Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran itu, memang mudah menjadi tukang provok.
Ini kerana, tambahnya, sejarah tidak pernah terlupa betapa banyaknya dalih dan alasan yang diberikan oleh PH, termasuk pemimpin PKR ketika menentang RUU355 dan hudud dahulu.
Tegas Fadhli, PH pun tidak melaksanakan hudud ketika berkuasa. Jadi, beliau bertanya mengapa pula apabila menjadi pembangkang, PH berpura-pura mahu menjadi pejuangnya pula?
Fadhli menambah, bukankah PH juga yang mengatakan RUU355 dan hudud bercanggah dengan Perlembagaan, dan agenda Islamisasi yang mencabul hak bukan Islam.
Bagi Fadhli, kononnya Saifuddin bertanya kepada Kerajaan PN mengenai tarikh mula melaksanakan RUU355, dan hudud. Jawapan Fadhli itu ternyata mencerca dan ‘menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’.
Katanya, masakan Saifuddin tidak melihat dan tidak mendengar suasana Covid-19 yang sedang melanda di serata dunia, termasuk Malaysia.
Bukankah kesengsaraan rakyat yang diancam wabak berbahaya, kata Fadhli, yang membawa maut dan krisis ekonomi amat mencengkam kehidupan rakyat yang dikawal menerusi PKP.
Justeru, Fadhli mendakwa Saifuddin sengaja mahu mencemarkan imej Pas agar dilihat ekstrem, jumud, tidak faham keutamaan, dan Fiqh Waqi’ ketika rakyat diuji dengan kesukaran gara-gara Covid-19.
Tambah Fadli, PH juga berterusan mendesak Kerajaan PN menyelesaikan segera masalah krisis kesihatan, dan ekonomi yang sedang melanda negara.
Jadi, bidas Fadhli, mengapa tiba-tiba pula dibangkitkan isu RUU355 dan hudud sekarang. Mungkin itu, katanya, boleh dijadikan modal untuk memberitahu rakyat bahawa Pas sudah lupa diri kerana kenyang dengan ghanimah kuasa.
Fadhli terlupa atau buat-buat lupa apabila mengatakan Saifuddin sedemikian. Adakah beliau lupa dengan Pas yang merampas kuasa di Kedah semasa PKP 1.0, dan Covid-19 menggila tahun lalu?
Selain membidas Saifuddin dan PKR, Fadhli membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP pula.
Fadhli menyindir PKR sudah mendapat restu PKR dan DAP untuk menjadi pejuang RUU355 dan hudud. Katanya, kalau setakat mahu menjadi batu api, banyak lagi kerja berfaedah yang wajar Saifuddin lakukan.
Fadhli perlu faham tidak semestinya bertanya itu menjadi pejuang. Kalau begitu, tidak bolehlah langsung bertanya untuk kebaikan. Bukankah pertanyaan Saifuddin itu satu peringatan – mengingatkan?
Seperti dijangka, Hadi turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan Pas belum bersedia ketika mencadangkan pelaksanaan RUU355.
Kata Hadi, Terengganu dan Kelantan (di bawah pentadbiran Pas) sudah melaksanakannya melalui peruntukan Enakmen Syariah yang ada.
Terengganu dan Kelantan, kata Hadi, sudah ada undang-undang, cuma (tinggal pada peringkat) Perlembagaan (Persekutuan) sahaja.
Begitu juga, tambah Hadi, Negeri Sembilan dan Sabah yang hanya menunggu proses Perlembagaan.
Hadi menganggap kenyataan Ketua Pemuda (Penaja) Pejuang Tanahair, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin itu sebagai kenyataan anak muda mentah tidak habis belajar, dan mengkaji.
Pada 1990-an lagi, katanya, Pas telah menyelesaikan (meminda Enakmen Syariah di Terengganu dan Kelantan).
Menurut Abu Hafiz, Pas belum bersedia secara teknikal dari segi perundangan, mahupun hujah agama ketika mencadangkan RUU355.
Untuk catatan sejarah, Hadi membentangkan RUU355 buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian. Walau bagaimanapun, perbahasan mengenainya ditangguhkan, dan versi yang disemak semula dibentangkan pada November 2016, dan April 2017.
RUU355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum Mahkamah Syariah bagi kesalahan jenayah syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.
Namun demikian, ia hanya pada peringkat mengemuka usul tanpa perbahasan.
Pada 26 November tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary memberitahu RUU akan dibincangkan pada peringkat negeri awal tahun ini.
RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.