https://critoxium.com/shop/

Terkini

PRU-15 ketika pandemik: Inikah yang rakyat Malaysia mahu?

Baru-baru ini tular beberapa video dan gambar di media sosial menunjukkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang bersiap sedia menghadapi PRU-15.

Malah, ada juga yang dilihat telah mula berkempen dengan menampal wajah besar-besar di papan iklan dan memasang bendera parti dengan kuantiti yang banyak dalam satu program di Parlimen Bakri baru-baru ini.

Namun, ketika ramai rakyat Malaysia yang hidup semakin susah dari hari ke hari, hilang pekerjaan, hutang meningkat, kes Covid-19 tidak menunjukkan penyusutan daripada 4 angka dan banyak nyawa yang hilang, inikah yang kita mahukan sebenarnya?

“Inilah sebab mahu Darurat. Diam-diam boleh buat persediaan pilihan raya,” kata salah seorang pengguna Twitter mengenai video tular yang memaparkan bendera-bendera Perikatan Nasional dicetak dan digunting.

Ramai pengguna Twitter meluahkan rasa kesal dan marah apabila tular video tersebut ketika yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah usaha-usaha besar menangani dampak pandemik Covid-19, namun sepertinya PRU-15 lebih penting.

Seorang lagi pengguna Twitter, Ikmal Hisham berkata, “kita semua mohon YB Yeo Bee Yin tapau kasi bersih Parlimen Bakri ni nanti. Beza antara pemimpin Dan kerajaan tebuk atap.” Katanya dalam satu ciapan berkaitan gambar-gambar tular PN seperti berkempen di Parlimen Bakri.

Ini menguatkan lagi sangkaan semua bahawa Darurat ini hanyalah untuk memudahkan kerajaan PN berbuat suka hati, tanpa perlu patuh pada SOP seperti rakyat biasa.

Lebih-lebih lagi kini hampir semua sektor dibenarkan beroperasi, namun hanya pintu Parlimen yang masih terkunci.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini bolehlah diganti dengan Perintah Kawalan Parlimen.

Turut tular video t-shirt dengan logo Perikatan Nasional dicetak besar-besaran di sebah kilang dan reaksi rakyat Malaysia di Twitter majoritinya negatif terhadap video tersebut.

Ramai yang memerli kerajaan pada video tersebut dengan menyatakan “vaccine in the making”, “inilah proses penyediaan vaksin untuk rakyat” dan macam-macam lagi yang menunjukkan bahawa betapa lemahnya kerajaan Muhyiddin mengutamakan rakyat ketika pandemik ini.

Seperti yang dilaporkan oleh portal Berita Harian, sebuah syarikat penyelidikan pasaran, IPSOS membuat satu tinjauan berkenaan pendapat rakyat Malaysia berkenaan dengan program vaksinasi Covid-19.

Hasil tinjauan tersebut mencatatkan, 80 peratus rakyat Malaysia bersetuju untuk program vaksinasi Covid-19 diwajibkan kepada semua.

Dapatan ini adalah jauh lebih tinggi berbanding rakyat di negara lain seperti Rusia mencatatkan hanya 44 peratus, Amerika Syarikat (50 peratus) dan Jepun (52 peratus).

Namun, perkara yang dikesali ramai adalah kelewatan proses tersebut dan melalui pengumuman dibuat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, kerajaan menyasar 80 peratus populasi Malaysia iaitu kira-kira 26.5 juta penduduk Malaysia menerima suntikan vaksin tersebut.

Memetik semula kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, “kita tidak selamat sehinggalah semua orang selamat.”

Jadi, persoalannya mengapa tidak dipastikan 100 peratus penduduk di Malaysia menerima vaksin seperti mana harapan majoriti rakyat Malaysia?

Mengapa dalam tempoh situasi sukar ini, PN pilih memekakkan telinga daripada mendengar suara pemimpin-pemimpin pembangkang dan rakyat umumnya? Malah sibuk mempersiap parti-parti politik blok kerajaan PN berhadapan PRU-15 yang diketahui beri kesan buruk kepada usaha menangani Covid-19 ini?

Hari ini, jika menteri-menteri buka mana-mana platform media sosial pun dengan mudah tahu apa sebenarnya yang rakyat mahu. Tapi, jika bukan kemahuan rakyat jadi keutamaan, tunggulah keputusan PRU-15 nanti. Jika itu yang PN mahu.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.