https://critoxium.com/shop/

Terkini

Individu dikompaun kerana kekeliruan polis boleh buat rayuan


KUALA LUMPUR - Individu yang dikompaun RM1,000 ketika sekatan jalan raya ekoran kekeliruan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mengemukakan rayuan untuk jumlah kompaun dikurangkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini termasuklah kekeliruan terhadap larangan rentas daerah di negeri-negeri di bawah PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Ada yang mengadu mereka ditahan di sekatan jalan raya, sedangkan mereka masih di dalam daerah yang sama tetapi kerana ia sempadan daerah Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka dikompaun... kita tidak pernah menggunakan daerah polis.

“Kerajaan menggunakan daerah pentadbiran yang diketuai pegawai daerah, bukannya daerah polis... kekeliruan ini sudah diperbetulkan, saya sendiri telah memaklumkan pada PDRM, “ katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, mereka yang dikenakan kompaun dalam keskes sebegini boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah di mana kompaun tersebut dikeluarkan.

“Kemukakan rayuan dengan memberikan sebab-sebab tertentu sebelum membuat bayaran kepada Kementerian Kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah... kalau pegawai yang menerima rayuan itu bersetuju dengan alasan yang diberikan, mereka boleh menurunkan kadar kompaun,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.