https://critoxium.com/shop/

Terkini

Isu kuil, Thaipusam antara sebab saya keluar parti, kata bekas pemimpin bukan Islam PAS


PETALING JAYA: Keputusan kerajaan Kedah merobohkan kuil dan keengganan memberikan cuti umum bagi perayaan Thaipusam antara faktor menyebabkan Setiausaha Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), S Barathidasan keluar parti Islam itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas semua rayuannya berkaitan isu berkenaan tidak diendahkan kepimpinan tertinggi PAS, ketika Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenepikan sentimen komuniti Hindu di negeri itu melalui keputusan dan tindakannya.

“Ini menunjukkan kami dipergunakan untuk memberi gambaran kononnya PAS menjaga kepentingan orang bukan Islam,” katanya kepada FMT.

Barathidasan, yang juga seorang jurutera IT mendakwa sayap DHPP diberikan pelbagai jaminan sebelum PAS menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN), setahun lalu. Namun semuanya mula berubah selepas itu.

“Saya turut berada dalam kumpulan WhatsApp yang sama dengan pemimpin PAS termasuk menteri Takiyuddin Hassan. Saya merayu kepada mereka supaya menghentikan tindakan Sanusi yang boleh dianggap melukakan perasaan komuniti Hindu di Kedah.

“Pada masa sama, keadaan ini mencetuskan kemarahan komuniti Hindu terhadap DHPP, klip video yang mengutuk kami turut menjadi tular. Mereka persoalkan kenapa kami bekerjasama dan menyokong parti yang melanggar hak kami,” katanya.

Barathidasan melepaskan semua jawatan disandangnya termasuk ketua DHPP Wilayah Persekutuan, berkuatkuasa 31 Dis 2020. Namun, perletakan jawatannya hanya diterima minggu lalu.

Beliau berkata, apa yang benar-benar melukakannya ialah bagaimana sebelum ini mereka yang bukan Islam memberikan sokongan dan mempertahankan isu berkaitan Islam atas dasar solidariti. Namun, ketika perkara itu berlaku, tidak ada seorang pun ahli parti yang menyatakan sokongan sama.

Ditanya mengenai keputusannya menyertai PAS dulu, Barathidasan berkata melihatkan situasi politik, beliau mahu DHPP menjadi pengantara yang menjelaskan dan meyakinkan golongan minoriti bahawa hak mereka akan dilindungi oleh parti Islam itu.

Barathidasan berkata, tindakan PAS yang seolah-olah berpeluk tubuh atas tindakan menteri besar Kedah mencetuskan perdebatan hangat serta perbezaan pendapat dalam kalangan kepimpinan DHPP.

Beliau menjelaskan, kepimpinan PAS juga tidak memintanya untuk kekal dalam parti dan menyelesaikan percakaran.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.