Terkini

Arak, judi, dan kerajaan Melayu-Islam


Oleh Mohsin Abdullah 

Lazimnya saya tidak tulis mengenai arak dan judi. Bagi saya minum arak dan main judi terpulanglah kepada individu. Pandai-pandailah jawab kepada Tuhan nanti. Kalau mereka percaya kepada Tuhan.

Tetapi oleh kerana kerajaan kita sekarang ini dilihat, dan gemar dilihat, sebagai kerajaan Melayu-Islam maka timbullah artikel ini.

Kata Najib Razak, “sebenarnya” SOP PKB (yang digubal kerajaan) tidak pernah melarang penjualan alcohol. Bagaimanapun premis jenis pub dan kelab malam masih tidak dibenarkan beroperasi.

Namun kebanyakan pub dan kelab malam ada kedua-dua lesen alkohol dan restoran, kata Najib di Facebook baru baru ini.

Ini, kata Najib, bermakna “premis-premis tersebut dbenarkan beroperasi untuk menjual. Cuma pub dan kelab malam tidak boleh buka kaunter bar mereka, TETAPI pelayan pub dan kelab malam dibenar menghidang alkohol kepada pelanggan untuk minum dalam premis”.

Menurut Najib “lockdown Covid di Malaysia agak lain daripada yang lain.” Lalu beliau menyenaraikan (dengan sinis bertujuan memerli) apa yang boleh dibuat (hanya satu yang tidak boleh) pada waktu PKP ini. Panjang senarainya.

Bagaimanapun untuk artikel ini saya pendekkan senarai itu dan paparkan seperti ini – sesuai dengan apa artikel ini ingin tonjolkan.

Kata Najib, “lockdown” di Malaysia bermaksud “boleh beli 4D, boleh minum alkohol dalam premis, boleh berjudi dalam kasino TETAPI Ahli Parlimen tidak boleh hadir Parlimen sebab bahaya Covid”.

Kita faham mesejnya. Seperti dikatakan tadi, oleh kerana kerajaan sekarang dianggap, dan gemar dianggap, sebuah kerajaan Melayu-Islam maka saya petik satu aspek daripada senarai Najib iaitu “boleh berjudi di kasino dan boleh beli 4D”. Bab arak sudah diperkatakan tadi.

Minggu lalu, Resorts World Genting yang mengendalikan kasino serta beberapa syarikat ramalan mengumumkan mereka kembali operasi selepas mendapat izin kerajaan.

Syarikat nombor ramalan terbabit adalah Sports Toto, Magnum Bhd, dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai). Mereka sebelum ini diarah menghentikan operasi sebagai langkah memerangi wabak Covid-19.

Pengumuman itu bermaksud judi sudah dibenarkan semula, sekali gus mengundang bantahan keras Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) terhadap keputusan kerajaan Perikatan Nasional meluluskan pembukaan premis perjudian.

Menurut laporan FMT tempoh hari, Dewan Ulama PAS Pusat menyifatkan keputusan kerajaan PN tidak membantu memulihkan ekonomi selain mencalar imej Malaysia sebagai negara Islam.

Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah, berkata “kerajaan PN yang imejnya mendapat sokongan padu khususnya dari kalangan Melayu-Muslim wajar mengambil kira suara bantahan ini bukan hanya semata-mata (kerana) kepentingan politik tetapi ia merupakan tanggungjawab dari sudut perspektif agama”.

Menarik beliau bercakap mengenai “kepentingan politik”. Bagi saya, beliau menasihati kerajaan “ingat-ingat lah agama bukan sahaja kepentingan politik”.

Lalu beliau mengingatkan kerajaan akan tanggungjawab dari sudut agama.Ya – seperti dikatakan tadi kerajaan ini digelar, dan gemar digelar, kerajaan Melayu-Islam. Sebagai kerajaan Melayu-Islam judi (dan arak) tentunya menjadi perkara besar dalam agendanya. Atau haruskah saya menggunakan istilah “perjuangan”?

Kata Nor, keputusan kerajaan membenarkan industri perjudian beroperasi semula “bakal mencalar imej negara Malaysia yang memperuntukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembangaan”.

Kata-kata seperti itu memang dijangkakan daripada PAS yang menganggap dirinya parti Islam. Apatah lagi Dewan Ulamanya . Tentulah ulama tidak berkenan dengan langkah mengizinkan perjudian.

Maka timbul persoalan:

Selain mengeluarkan kenyataan keras, apa yang DUPP buat? Adakah DUPP sudah meluahkan kemarahannya kepada pucuk tertinggi PAS ? Khususnya Presiden Abdul Hadi Awang yang disifatkan ahli parti seorang ulama unggul.

Jika sudah, apa kata Hadi? Apa yang PAS sudah atau akan lakukan? Adakah PAS menerusi presiden atau pemimpin lain memaklumkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan rasa tidak senang mereka terhadap langkah kerajaan pimpinan beliau mengizinkan operasi judi berjalan semula?

Sudahkah PAS mendesak kerajaan? Rasanya kerajaan akan membuka telinga dan mata jika PAS membantah dan merungut. Bukan rahsia besar PN memerlukan sokongan PAS untuk kekal memerintah, dan Umno sedang memujuk PAS bercerai dengan PPBM dan bersama mereka dalam Muafakat Nasional tanpa Muhyiddin dan partinya.

Itu semua meletakkan lebih nilai ke atas suara bantahan PAS jika ia diajukan kepada Muhyiddin. Atau adakah PAS kini terlalu selesa dalam kerajaan PN lantas tidak mahu membantah, selain daripada mengeluarkan kenyataan media?

Persoalan lebih besar – adakah PAS diajak berbincang ketika kerajaan mengambil keputusan berkenaan? Jika PAS ada dalam mesyuarat yang membincangkan isu itu, apa kata PAS ketika itu?

Apakah mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan membenarkan semula aktiviti perjudian, malah menjadi “part and parcel” atau menyertai sama keputusan itu?

Atau apakah menteri-menteri PAS tidak diajak berbincang isu itu. Jika benar, maka ia juga sesuatu yang mengejutkan. Hanya kerajaan atau PAS yang boleh memberi pencerahan terhadap isu ini.

Teringat nasihat DUPP kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin mengenai “kepentingan politik”.

Kata Lim Hong Siang, pengarah eksekutif Saudara.org di Facebook: “Untuk berlaku adil kepada semua pihak, kerajaan Perikatan Nasional harus menyatakan secara jelas, sama ada kasino dan syarikat ramal nombor (empat ekor) dibenarkan beroperasi atau tidak di bumi ini.

“Jikalau tidak, maka biar berterus-terang dengan syarikat tersebut agar mereka bersedia untuk menggulung tikar. Jikalau ya, layanlah mereka seperti industri lain dan jangan lagi mempolitikkan isu ini.”

Jika saya boleh menambah – terus terang juga kepada penguasa pub dan kelab malam.

Bagi saya elok dilhat kata-kata beliau secara menyeluruh – bukan sahaja membabitkan SOP, PKP, dan waktu pandemik.

Kata kuncinya: “jangan politikkannya”. Namun hakikatnya dalam apa jua keadaan, apa jua isunya, kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Atau paling tidak – ia tetap diberi keutamaan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.