Usah gadai masa depan jadi 'sugar baby'
LAPORAN berhubung seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook bagi mencari ‘sugar daddy’ merupakan satu perkara yang serius.
Statistik turut menunjukkan peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu dipercayai akibat desakan hidup ketika Covid-19. Namun, bebanan kewangan ketika Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan kerana semua rakyat mengalami nasib yang sama ketika penularan pandemik tersebut.
Janganlah ambil jalan mudah untuk hidup mewah.
Pada masa ini, banyak cara yang boleh dilakukan oleh mahasiswi untuk menambah duit poket mereka seperti melakukan perniagaan di atas talian. Ada perniagaan yang tidak memerlukan modal seperti menjadi agen atau dropship sesuatu barangan.
Kita hanya perlu mempromosikan barang tersebut dan mengambil pesanan para pelanggan, selebihnya dilakukan oleh pihak pengurusan syarikat berkenaan. Biasa kita dengar, ‘tak senang nak senang, tak susah nak susah.”
Mahasiswi perlu lebih berhati-hati dan matang dalam membuat sesuatu perkara. Jangan terlalu mengikut nafsu untuk hidup mewah, sehingga lupa kesan yang akan ditanggung pada masa akan datang.
Sebagai contoh kerana terlalu ingin hidup senang, tidak berfikir panjang sehingga sanggup menjadi keldai dadah, dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membawa dadah ke negara lain. Jauhilah perkara tersebut.
Saya yakin mahasiswi di Malaysia ini matang dalam membuat keputusan dan bijak sebelum bertindak.
Institusi dan persekitaran keluarga yang sihat turut memainkan peranan penting supaya aktiviti tidak bermoral ini tidak melarat di kalangan mahasiswi di negara ini. Ibu bapa harus sentiasa memantau dan mengambilberat setiap tindakan anak-anak mereka.
Selain itu, mempunyai kawan-kawan yang baik juga merupakan bonus kerana mereka boleh menjadi ‘telinga’ dan ‘meminjamkan bahu’ ketika kita sedang menghadapi masalah.
Carilah rakan-rakan yang boleh kita percayai untuk berkongsikan masalah. Cari kawan yang berkualiti dan bukan mementingkan kuantiti.
Dalam masa sama, Pemuda MCA sedia menghulurkan tangan membantu bagi memastikan golongan belia tidak terjerumus dengan aktiviti yang merosakkan masa depan mereka.
* Nicole Wong, Ketua Pemuda MCA
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.