https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mahu bersama PPBM dalam PRU, PAS tidak lagi minat perkukuh MN, kata veteran Umno


 PETALING JAYA: Veteran Umno, Shahrir Samad menyifatkan PAS tidak lagi berminat memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno selepas parti Islam itu mengumumkan akan mengukuhkan kerjasama dengan PPBM bagi menghadapi PRU15.

Katanya, dengan pendirian itu, menteri Umno juga tidak perlu menunggu Parlimen dibubarkan untuk keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

“PAS bersama PN menolak sebarang percubaan menggugat kerajaan Perikatan Nasional. PAS tidak lagi memperkasakan Muafakat Nasional yang kini menjadi milik Umno dan BN sahaja.

“Kenyataan terbaru secara bersama PN dan PAS mempertahankan kerajaan PN meletakkan ahli Parlimen BN dalam kerajaan PN dalam kedudukan janggal. Sudah tidak perlu untuk mereka menunggu sehingga Parlimen dibubarkan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, bahagian itu juga akan berdepan pertandingan tiga penjuru antara BN, PN dan PH dalam pilihan raya akan datang.

“Bagi Johor Bahru, seperti sudah dijangka, BN akan berhadapan pertandingan tiga penjuru di Parlimen dan kedua kawasan DUN Larkin dan Stulang. Bila sudah terang, tidak perlu lagi untuk bersuluh,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan terbaru PAS dan PPBM mengumumkan dua parti itu akan mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi PRU15 dan menolak sebarang cubaan membentuk kerajaan baharu yang melibatkan Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua parti itu turut bersetuju menubuhkan mekanisme peringkat pusat bagi memutuskan pengagihan kerusi untuk PRU.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.