https://critoxium.com/shop/

Terkini

Malang seni jadi hiburan


Oleh Haris Hauzah

ALANGKAH malangnya nasib sukan dan seni di tempat kita ini; seni hanya dianggap hiburan, sementara sukan sekadar satu aktiviti rekreasi.

Hidup di era pandemik begini, di tengah kesibukan ramai orang berebut-rebut untuk menyelamatkan diri daripada Covid-19 melalui suntikan vaksinasi, barangkali hanya ada tiga hal saja yang paling diutamakan masyarakat hari ini: politik, kesihatan dan ekonomi.

Mereka akan lebih mengutamakan perkara-perkara seperti pergelutan politik, penguatkuasaan darurat, persoalan personaliti dan keabsahan seorang perdana menteri serta kestabilan sebuah kerajaan di Dewan Rakyat. Hanya hal-hal itu saja yang dapat menentukan survival rakyat untuk terus menjalani kehidupan, memiliki pekerjaan dan mendapat wang bagi membeli kebahagiaan.

Bagaimanapun cara kerajaan menguruskan pandemik ini mengakibatkan industri seni dan sukan sangat ketinggalan. Sehingga kedua-dua industri itu dirasakan seperti tidak lagi diperlukan, atau tidak ada keperluan untuk kedua-dua industri ini dilindungi dan diselamatkan.

Hal itu dapat dilihat apabila tiada satu “masterplan” yang dirangka dan disusun pada sepanjang tempoh PKP. Tiada satu usaha besar bagi menyelamatkan para atlet yang bakal ke sukan Olimpik agar dapat terus menjalankan persediaan dan boleh kekal menjalani latihan.

Malah pasukan bolasepak kebangsaan yang sedang dalam usaha melayakkan diri ke Piala Asia dan Piala Dunia juga berdepan dengan banyak kesukaran ekoran ketiadaan latihan. Malah keputusan pembatalan beberapa kejohanan dan liga tempatan tahun lalu yang bernilai jutaan turut amat mendukacitakan.

Melihat hal sepenting itu semacam diabaikan amatlah meresahkan kerana memang tiada olimpik seni mahupun piala filem Asia yang masuk dalam jadual perancangan. Paling-paling adalah satu dua festival filem kecil-kecilan yang mana pembikin filem sertai atas usaha sendiri. Paling tidak, kita semua terlepas satu-satunya Festival Filem Malaysia yang amat FINAS bangga-banggakan.

Jelas, sememangnya tidak ada banyak kepentingan yang kerajaan letak pada sukan apatah lagi kepada seni yang dapat kita lihat.

Namun apa yang berlaku itu bukanlah suatu hal yang patut dihairankan. Seni sememangnya telah lama diajar kepada masyarakat sebagai suatu subjek yang semata-mata hiburan.

Justeru kerana itulah tidak ada banyak usaha dan kesungguhan kerajaan yang dapat dilihat untuk mengaitkan kesenian dalam hal pembangunan negara, pembinaan pemikiran dan pembentukan sikap masyarakat.

Lantaran dari itulah maka seni sering ketinggalan, malah dalam konteks ini seni sangat ketinggalan berbanding dengan sukan.

Sebagai analogi mudah, memang sudah ada banyak kajian yang memperakukan seni adalah hiburan. Justeru ia tidaklah merupakan sesuatu yang taboo, aneh atau menjadi kesalahan. Misalnya, Faber, O’Guinn dan Hardy, dalam satu kajian yang dibentangkan dalam Art film in suburbs: A comparison of popular and art film audiences pada tahun 1988.

Kajian yang melihat perbandingan sikap antara para penonton filem seni dengan penonton filem popular itu mendapati sebab utama penonton filem ke pawagam adalah bagi memperoleh keseronokan hiburan.

Filem dan pawagam sememangnya menjadi satu medium eskapisme untuk lari dari situasi rutin bagi ramai orang. Ia merupakan platform mengelak atau keluar sekejap dari suasana harian kehidupan seseorang yang mungkin bosan dan sangat menekan.

Nah, di sinilah kunci bagi kepentingan seni itu untuk dilihat dan dinilai. Kegagalan kerajaan melalui Finas melihat dan memahami dua kata kunci ini menjadi antara punca paling asas mengapa industri perfileman negara ini tidak membangun dan berkembang seperti kebanyakan negara jiran.

Kita harus mengeksploitasi elemen hiburan dan eskapisme yang terkandung dalam seni secara maksimum. Penerokaan dalam memanafaati hiburan dan eskepisme itu harus lebih dimengerti, khususnya pada musim pandemik begini bagi memulih serta menaikkan semula semangat rakyat yang sedang sedih, murung, kecewa, marah dan tertekan.

Kegagalan memahami hiburan dan eskepisme seni tersebut mematikan kebijakan. Ia sekali gus menyebabkan penerokaan industri seni kita terus lembab, kekal terkongkong dan selamanya kebantutan.

Perhatian yang keterlaluan diberikan menteri, kementerian dan Finas kepada pengurusan dana dan pelesenan harus diredakan.

Walhal segala rungutan orang-orang seni, para pekerja filem yang tak dapat keluar bekerja, isu pawagam yang terpaksa berdepan dengan macam-macam kerugian, termasuklah isu Padu Citra yang diperbesar-besarkan – semuanya adalah kisah tentang bagaimana pemain industri ini boleh terus hidup dan dapat cari makan.

Seorang ahli sosiologi Inggeris bernama David Hesmondhalgh ada menyatakan penggiat seni budaya (seperti filem) adalah mereka yang terlibat dengan penciptaan simbol.

Profesor media, muzik dan budaya itu menjelaskan hal itu dalam bukunya The Cultural Industries tentang penzahiran apa saja yang ada di minda orang seni melalui penciptaan pelbagai simbol seperti gambar, lagu, tarian, lukisan dan lakonan.

Keseluruhan itu pada akhirnya akan menjadi suatu sistem nilai dalam masyarakat di sesebuah negara atau tempat. Ia kemudian berkembang membentuk budaya dalam sesebuah masyarakat yang berupaya memenuhi tuntutan naluri serta memberikan kepuasan.

Sekiranya bijak kementerian dan Finas memanfaatkan elemen “eskapisme dan hiburan”, pintar meneroka dan mengeksploitasi dua hal itu bagi memanafaati keterdesakan hidup rakyat, pasti negara dan industri seni beroleh keuntungan ekonomi dan politik malah kesihatan.

Malangnya mereka tiada imaginasi melihat seni dari aspek eskapisme dan hiburan yang mampu menyelamatkan rakyat dan beri keuntungan kepada industri seni perfileman. Betapa malangnya dunia kesenian.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.