https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ramkarpal kesal anggota Pakatan belot, gesa larangan lompat parti


AHLI parlimen DAP, Ramkarpal Singh mengecam bekas ahli Parlimen pembangkang yang kini menyatakan sokongan mereka kepada Perikatan Nasional, di samping turut mengingatkan bahawa membebaskan Malaysia daripada rasuah jauh lebih penting daripada mendapatkan dana kerajaan.

Dalam satu kenyataan kepada Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong, Ramkarpal menyifatkan alasan Sng yang melompat parti kerana kekurangan dana sebagai menggelikan hati.

“Alasan yang pelik diberikan untuk membenarkan aktiviti lompat parti - dalam hal ini kononnya dana kerajaan diperlukan untuk berkhidmat di kawasan dan dana itu tidak ada jika dia menjadi pembangkang.

“Ini adalah (alasan) yang menggelikan hati. Saya berkata demikian kerana sangat sedikit orang dalam Pakatan Harapan yang menjangka mereka akan berkuasa selepas PRU14.

“Tidak pernah ada alasan mengenai dana untuk kawasan, tetapi lebih banyak mengenai tujuan mewujudkan Malaysia yang lebih baik, Malaysia yang bebas daripada rasuah, Malaysia yang bebas daripada patron politik, Malaysia yang bebas daripada kleptokrat,” kata ahli Parlimen Tasik Gelugor itu dalam satu kenyataan.

Pagi tadi, Sng mengumumkan telah meninggalkan PKR bersama-sama dengan Choong untuk memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dengan alasan beliau memerlukan dana kerajaan untuk membantu rakyat di kawasannya.

Ramkarpal berkata aktiviti lompat parti harus dilarang dan menambah bahawa beliau akan menyokong sesiapa daripada kerajaan yang mencadangkan idea itu.

“Melompat parti adalah satu hal yang boleh merosakkan demokrasi kerana ia boleh menggoyahkan mana-mana kerajaan, lebih-lebih lagi kerajaan yang rapuh seperti kerajaan PN ketika ini.

“Saya tertanya-tanya apakah pendudukan kawasan Parlimen Julau dan Tebrau akan memandang serius wakil rakyat mereka, memandangkan mereka itu telah meninggalkan prinsip yang mereka ajar secara terbuka pada pilihan raya umum yang lalu.

“Saya sudah berkata mengenai hal ini berkali-kali dan saya akan mengatakannya lagi. Melompat parti mesti dihentikan dan dilarang,” katanya.

Ramkarpal juga merujuk kepada Amanah, Khairuddin A Rahim, Faizul Amri Adnan dan Muhamad Said Jonit yang turut dilaporkan keluar daripada Amanah untuk menyertai PKR hari ini.

“Tiga wakil rakyat ini juga tak ada beza walaupun masih berada dalam Pakatan Harapan, dibanding dua orang yang menukar gabungan politik mereka (kepada Perikatan).

“Mana-mana kerajaan yang mencadangkan (untuk melarang lompat parti) melalui pindaan perlembagaan di Parlimen pasti akan mendapat sokongan saya.

“Jika tidak, kita tidak akan pernah mendengar kesudahan akan wujud lagi orang seperti Larry Sng dan Steven Choong,” jelasnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.