https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah Itu Petanda Kerajaan Melayu --Islam Tidak diberkati Tuhan?


Oleh Shahbudin Husin
 
Entah angka sebenar atau rekaan, rakyat kini nampaknya makin keliru dengan kes Covid19 yang dilaporkan terus meningkat hari demi hari.
 
Lebih-lebih lagi melalui angka yang ditunjukkan, tiada data lengkap disertakan mengenainya dan ini berbeza berbanding pengumuman harian semasa PKP 1.0 dahulu.
 
Yang terdengar kemudian ialah adanya amaran di merata-rata bahawa bazar ramadan akan ditutup dengan serta merta jika SOP gagal dipatuhi, seolah-olah di situlah bertapaknya bahaya Covid19 yang mula meningkat ini.
 
Tidakkah ini menghairankan kerana bulan puasa baru saja bermula empat hari dan bagaimana tempat yang tidak terbukti merebaknya wabak sudah mula ditakuti dan mahu diancam tutup?
 
Kenapa tempat seperti pasaraya, pasar harian dan lain-lain di mana berkumpulnya ramai orang tiada kedengaran amaran akan ditutup seperti bazar ramadan?
 
Lebih menghairankan, melalui PKP sudah melalui dua fasa dengan segala macam SOP diperkenalkan, ditambah darurat lagi dan suntikan vaksin yang mula dilakukan sekarang ini seperti tiada kesan untuk mencegah wabak Covid19.
 
Kenapa ini berlaku?
 
Serentak dengan itu, keraguan yang mula kedengaran ialah tulenkah segala angka-angka yang diumumkan itu?
 
Adakah angka itu sengaja dinaikkan seiring dengan kedudukan Mahiaddin Md Yasin yang terancam lagi berikutan UMNO telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu serta akan keluar daripada kerajaan menjelang 1 Ogos depan?
 
Jika kita masih ingat, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah pernah mengakui kenaikan angka kes Covid19 yang diumumkan sebelum ini adalah disebabkan kes-kes tertunggak?
 
Kiranya ketika Mahiaddin terancam kedudukannya dengan Anwar Ibrahim beberapa kali mengakui telah cukup sokongan untuk mengambil alih kerajaan, lalu kes Covid19 waktu itu tiba-tiba meningkat, apakah tidak mungkin dengan adanya ancaman kedudukannya dijatuhkan oleh UMNO sekarang ini, sekali lagi hal yang sama menjadi ulangan?
 
Dengan asyik bersandar kepada Covid19 untuk mengekalkan kedudukannya, adakah ini bermakna Mahiaddin akhirnya adalah satu-satunya pemimpin dalam dunia ini yang paling mendapat manfaat dan untung daripada Covid19?
 
Tetapi, jika benar, sampai bila keadaan ini akan berlaku dan sampai bila Mahiaddin mahu terus bergantung kepada Covid19 untuk mengelat daripada dijatuhkan, biar pun realitinya, beliau sudah lama hilang sokongan majoriti?
 
Sebagai anak ulama, tidak rasa malu dan berdosakah Mahiaddin dengan apa yang dilakukannya ini?
 
Namun demikian, jika kes Covid19 yang meningkat ketika ini adalah benar, meskipun PKP dan darurat dikuatkuasakan, bersekali dengan Parlimen turut digantung, malah gelombang keempat sudah diwar-warkan akan melanda, ini tidak lain adalah tanda kegagalan kerajaan dan Mahiaddin dalam mengurus negara di waktu krisis.
 
Beliau terlihat tiada kemampuan dan keupayaan sebagai ketua kerajaan dan dengan ini merupakan Perdana Menteri paling gagal dalam sejarah negara.
 
Kegagalan itu yang antaranya disebabkan perlaksanaan PKP separuh masak dan penguatkuasaan SOP yang berpilih-pilih, tidak saja menyebabkan angka kes terus meningkat, malah mengakibatkan ramai rakyat menderita kesusahan meneruskan kehidupan.
 
Dengan itu, kiranya dalam hari-hari mendatang, kes terus tidak menunjukkan penurunan, Mahiaddin tiada pilihan lain lagi selain mesti berundur dan meletakkan jawatannya.
 
Beliau tidak layak lagi terus berada di persada kuasa,tambahan pula perolehan kuasa sebelum ini pun begitu diragui oleh segenap penjuru alam.
 
Petandanya, selain yang nyata menunjukkan rakyat akan terus marah dan membencinya, semua keadaan ini juga memperlihatkan keberkatan Tuhan terhadap kerajaan sudah tiada lagi.
 
Dalam kehidupan, malah berkerajaan, apalagi sering mendabik dada sebagai kerajaan Melayu/Islam, apakah makna yang tinggal lagi jika keberkatan Tuhan sudah tiada?

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.