https://critoxium.com/shop/

Terkini

Balik Kampung: Kegagalan memenuhi keperluan orang Melayu


 

Orang Melayu di Malaysia ditakrifkan sebagai mereka yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Melayu pula adalah sebahagian daripada Bumiputera, juga disebut sebagai Pribumi.

Mana-mana kerajaan di Malaysia mesti berjaya mempertahankan agama Islam, mendaulatkan bahasa Melayu dan melindungi adat istiadat Melayu. Soal agama Islam dan bahasa Melayu termasuk tulisan jawi adalah dua perkara sensitif, dan sesiapa yang menjadi kerajaan di Malaysia akan berusaha mempertahankannya.

Tetapi apakah itu adat istiadat Melayu? Perkara ini jarang dibicarakan, tidak seperti soal agama Islam dan bahasa Melayu yang sentiasa timbul dalam perbincangan.

Kalau dilihat ketika British menjadi residen di negeri-negeri Melayu, ada dua perkara yang mereka tetapkan adalah di luar kuasa mereka dan ia kekal berada di bawah raja-raja. Dua perkara itu adalah agama Islam dan adat istiadat Melayu. Lantaran itu, selepas merdeka pun ada negeri yang mempunyai Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu. British tidak menyebut mengenai bahasa tetapi tentulah bahasa di negeri-negeri Melayu adalah bahasa Melayu. Segala urusan berkaitan agama Islam dan adat istiadat tentulah menggunakan bahasa Melayu bertulisan jawi.

Di peringkat tertinggi, adat istiadat merujuk pada amalan turun-temurun yang dilakukan di istana. Paling tinggi ialah adat pertabalan raja-raja Melayu. Sekali gus ia meletakkan kedudukan raja-raja Melayu sebagai satu perkara utama dalam kehidupan orang Melayu. Adat istiadat ini kemudian meliputi acara-acara diraja lain seperti upacara perkahwinan dan keputeraan diraja.

Tetapi maksud adat istiadat Melayu adalah luas, bukan saja di istana, malah meliputi rakyat jelata. Perkataan adat itu mempunyai maksud yang luas. Ia menjadi amalan dan peraturan. Walaupun ia tidak bertulis dan tidak dipaksakan, tetapi orang Melayu mematuhinya.

Budaya adat orang Melayu walaupun berubah-ubah mengikut peredaran zaman dan tempat tetapi inti dan terasnya adalah sama. Ia merangkumi keseluruhan hidup orang Melayu sepanjang hayat. Dari lahir sampailah meninggal dunia. Kemuncak adat ini adalah majlis perkahwinan. Walaupun adat perkahwinan banyak berubah dari semasa negara baru mencapai kemerdekaan hingga ke hari ini, budaya Melayu tetap terserlah dalam majlis-majlis perkahwinan.

Sesiapa pun yang menjadi kerajaan di Malaysia pasti sedar mengenai pentingnya majlis-majlis perkahwinan dan kenduri-kendara bagi orang Melayu. Tetapi lantaran Covid-19, keperluan orang Melayu ini sudah terjejas. Kalau perlu ditangguhkan untuk setahun kerana bahaya wabak itu, orang Melayu boleh terima. Tetapi kalau ia berlarutan lebih setahun, akhirnya mereka akan berasa kerajaan gagal memenuhi keperluan orang Melayu.

Tetapi satu lagi adat Melayu yang lebih penting dari kenduri-kendara itu.ialah hari paling bahagia dalam satu tahun, iaitu Hari Raya Aidilfitri. Ia bukan saja hari kebesaran agama Islam tetapi merupakan satu acara budaya Melayu. Semua orang Islam di seluruh dunia menyambut hari raya puasa itu tetapi setiap kaum meraikannya secara berbeza menurut budaya masing-masing.

Dalam beragama, apa yang wajib pada Hari Raya Aidilfitri ialah membayar zakat fitrah sebelum solat hari raya. Tetapi dari segi adat, banyak perkara-perkara yang perlu orang Melayu lakukan. Ia bukan wajib tetapi orang pasti berusaha untuk melakukannya. Daripada pakai baju Melayu sampailah menyediakan juadah raya menurut negeri masing-masing.

Tetapi perkara yang paling mesti dilakukan oleh orang Melayu ialah Balik Kampung. Sesiapapun kerajaan di Malaysia perlu berusaha untuk memastikan orang Melayu boleh Balik Kampung. Lebih-lebih lagi kalau kerajaan itu berkuasa atas mandat yang dikatakan demi Melayu. Kerajaan Mandat Melayu mesti memastikan orang Melayu dapat mengamalkan tuntutan agama dan amalan adat budayanya.

Sememangnya banyak perkara yang berada di luar kuasa kerajaan untuk mengawalnya hingga menyebabkan orang Melayu tidak boleh Balik Kampung. Umpamanya semasa Perang Dunia Kedua dan Darurat, orang Melayu tidak boleh Balik Kampung. Tetapi masa Perang Dunia Kedua, orang Melayu dijajah Jepun. Semasa Darurat, orang Melayu dijajah British dan negara baru merdeka.

Halangan-halangan yang berada di luar kawalan pihak berkuasa tentulah orang Melayu dapat memahaminya. Termasuklah apabila wabak Covid-19 melanda, maka kegagalan orang Melayu untuk Balik Kampung pada Hari Raya Aidilfitri tahun 2020 adalah sesuatu yang dapat difahami dan diterima.

Tetapi tahun 2021 ini keadaannya berbeza. Sekali lagi wabak Covid-19 menghalang orang Melayu daripada Balik Kampung. Maknanya dua tahun orang Melayu tidak boleh Balik Kampung.

Walaupun wabak ini tidak dapat dielakkan untuk tahun 2021, tetapi ia juga mencerminkan kegagalan perancangan dan pelaksanaan dalam usaha membendung wabak Covid-19 hinggakan orang Melayu tidak boleh Balik Kampung pada hari raya.

Ini kerana ketika bulan Mac, angka jangkitan dan nisbah boleh jangkitan mula menurun. Ia mula memberi harapan bahawa tahun ini orang Melayu boleh merentas negeri dan Balik Kampung. Program vaksin pun giat dilaksanakan dengan denda melanggar SOP juga dinaikkan. Walaupun keyakinan sebahagian rakyat terjadap kerajaan semakin luntur tetapi semua peraturan berkaitan melawan wabak dipatuhi untuk kebaikan bersama.

Dari awal lagi pihak berkuasa mengumumkan bahawa keadaan wabak akan hanya menjadi reda pada sekitar bulan Mei. iaitu selepas raya. Orang ramai juga diingatkan mengenai kemungkinan gelombang keempat.

Dari awal lagi pihak berkuasa tidak memberi jaminan bahawa orang ramai akan boleh Balik Kampung. Mereka juga tidak menyatakan bahawa tidak akan ada Balik Kampung bagi tahun ini, seperti tahun lalu. Maka harapan untuk Balik Kampung itu terus ada ketika orang Melayu mula berpuasa.

Malangnya, angka jangkitan tiba-tiba naik. Peningkatan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur naik mendadak. Bazar Ramadan di Kelantan terpaksa ditutup. Peniaga pun marah. Apa sudah jadi? Apa yang gagal?

Jika wabak Covid-19 tidak kelihatan reda sedangkan hanya tinggal tiga minggu sebelum Hari Raya, maka ada jelas bahawa tiada harapan Balik Kampung bagi banyak orang. Walaupun tahun ini mungkin solat hari raya di masjid dibenarkan tetapi berhari raya adalah seperti tahun lalu, iaitu tidak boleh Balik Kamping.

Keadaan ini tentu membawa persoalan, adakah negara ini gagal membendung wabak ini? Dengan segala langkah yang dilakukan termasuk vaksinasi, adakah segala usaha ini gagal? Perlukah pendekatan lain?

Banyak persoalan dan penjelasan adalah diperlukan. Perkara-perkara ini dibangkitkan oleh orang ramai melalui laman sosial. tetapi tentulah kerajaan boleh membisu. Begitu juga soalan-soalan yan dikemukakan oleh pemberita ketika sidang akhbar menteri, itu juga boleh dijawab tanpa pertikaian.

Sebab itu perlunya soalan dikemukakan di Parlimen. Barulah perkara ini boleh dibincangkan. Kerajaan boleh terus memerintah tetapi biarlah sidang parlimen diadakan supaya ada soal jawab daripada wakil rakyat mengenai kedudukan negara dalam pelawanannya terhadap Covid-19. Bukan saja soal Balik Kampung tetapi juga soal ekonomi.

Soal ekonomi juga perlu penjelasan dan jalan perlu dicari untuk kebaikan negara. Terdapat juga isu-isu lain juga yang perlu dijawab oleh menteri di Parlimen. Antaranya juga adalah pendidikan. Hidup ini bukanlah semata-mata menanti pilihan raya umum.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.