https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kebangkitan China sebagai kuasa media sejagat?

 


Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

Umum mengetahui kedudukan China sebagai kuasa besar dunia yang mencabar kewibawaan Amerika Syarikat (AS) sebagai adikuasa dunia, namun tidak ramai yang membicarakan mengenai kebangkitan China sebagai kuasa media sejagat.

Dalam webinar anjuran Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia (MTJS) minggu lalu, beberapa perbincangan mengenai kebangkitan China sebagai kuasa media sejagat dibicarakan.

Webinar yang bertajuk ‘Cabaran Kewartawanan Antarabangsa dalam Dunia Digital’ memperkatakan mengenai peranan China dalam media antarabangsa.>

Soalan ditanya oleh moderator iaitu penulis sendiri mengenai perspektif liputan media Barat dalam isu di Timur Tengah misalnya semasa AS menakluki Iraq pada Mach 2003.

Dalam liputan CNN ia lebih memaparkan kekuatan AS sebagai kuasa besar yang menumpaskan pemimpin yang didakwa kejam dan tidak berperikemanusiaan, Saddam Hussein.

Saddam mendapat jolokan “Hitler Timur Tengah oleh media AS. Pemaparan CNN lebih memperlihatkan kejatuhan patung Saddam dan kemaraan tentera AS dengan kereta kebal memasukan kota Baghdad.

Di belakang kereta kebal kumpulan wartawan AS yang mengiringi kereta kebal menakluki ibu negara Iraq itu. Mereka ini dikenali sebagai `embedded journalist’.

Liputan media AS lebih menunjukkan kekuatan, kesombongan dan kebongkakan AS dengan deretan kereta kebal memasuki Baghdad.

Al Jazeera dalam liputan penaklukan AS ke atas Iraq menjuruskan kepada sudut kesan buruk peperangan seperti ketiadaan bekalan elektrik dan air, kedai dan pasaraya untuk membeli makanan ditutup, harga bahan makanan melonjak tinggi terutama di pasar gelap, pengeboman yang tersasar di perumahan awam misalnya.

Manakala liputan CCTN China (sekarang dikenali sebagai CGTN – China Global Television Network) memaparkan isu kemanusiaan dan kerosakan negara akibat serangan AS ke atas Iraq.

Salah seorang panel Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, CEO Melaka Hari Ini, mantan ketua pengarang New Straits Times dan koresponden kanan agensi berita Reuters berkata, peranan China sebagai kuasa media tidak boleh diketepikan. Katanya, China sedang memainkan peranan sebagai kuasa baharu media di peringkat antarabangsa.

Manakala Presiden MTJS, Datuk Prof Dr Ahmad Murad Merican menjelaskan bahawa China membuat liputan media sejagat dengan menakrifkan dirinya sebagai kuasa besar, kebesaran dan kekuatannya dari segi ekonomi dan tentera dan kehebatan tamadunnya.

Seperti AS dengan medianya seperti CNN, ABC, berita Fox TV dan Wall Street Journal yang menjadi barisan hadapan kepada kuasa lunak (soft power) dalam propaganda dan mempromosikan AS sebagai pejuang liberalism, demokrasi dan hak asasi sejagat, China juga memerlukan media memainkan peranan pensejagatan imej China di pentas dunia.

Dalam hal ini, China memahami betapa pentingnya perang maklumat dan kuasa media dalam membentuk pandangan awam dalam era globalisasi.

Dalam isu Xinjiang betapa gencarnya pemberitaan media Barat berhubung penindasan pemerintah China terhadap warga Uighur di Wilayah Xinjiang.

Dalam hal ini, elit-elit politik China semakin bimbang tentang bagaimana China ditanggapi dunia dan bagaimana mereka perlu membentuk pandangan awam sejagat daripada propaganda media Barat khususnya AS.

Pencarian saya di pencarian Google mendapati pada September 2018, papan iklan dihiasai gambar kanggaru dan beruang comel panda bermunculan di sekitar bandar-bandar besar sebagai sebahagian daripada kempen periklanan bernilai AS$500 juta yang menggesa khalayak melihat perbezaan yang terdapat kepada GCTN yang dapat ditonton melalui Foxtel dan Fetch TV.

Dalam usaha ini, Beijing membuka jawatan kosong dalam bidang kewartawanan penyiaran dan mengembangkan taruhannya dalam skala yang amat besar.

Apabila China Central Television (CCTV) telah dijenamakan sebagai CGTN pada 2016, Presiden China, Xi Jinping dalam ucapan tahniahnya menggesa medianya supaya mencerita mengenai China dengan sebaik mungkin dan menyebarkan suara China di peringkat antarabangsa.

Mesej ini dilihat sebagai sebahagian daripada wawasan Beijing membina naratif baharu sejagat di sekitar China sementara pada masa yang sama mencabar liberalisme dan demokrasi sebagai pembangunan idel dan sistem politik ideal di dunia.

Di bawah kepimpoinan Xi, peranan China di pentas dunia mengalami perubahan besar dalam mengsetarakan CGTN setandin media Barat yang lain.

Dalam satu laporan Pentagon yang didedahkan beberapa tahun lalu, agensi berita China Xinhua telah membuka 40 biro berita asingnya antara 2009 dan 2011 sahaja. Jumlah ini meningkat daripada 162 pada 2017 dan dianggarkan mencecah lebih 200 pada 2021.

Di samping itu, CGTV membuka bironya di London sebagai tambahan di Nairobi dan Washington, mengembangkan operasinya dengan kehadiran koresponden di bandar-bandar besar di Eropah.

Penyiaran CGTV didakwa mencapai 1.2 bilion penduduk dunia dalam bahasa Inggeris, Rusia, Arab, Peranchis dan Mandarin – termasuk 30 juta isi rumah di AS – menjadikannya antara rangkaian televisyen terbesar dunia.

Sepanjang enam tahun, CGTN telah meningkatkan capaiannya merentas Afrika. CGTN muncul di koridor pertemuan Kesatuan Afrika beberapa tahun lalu di Addis Ababa, Ethiopia dan dipancarkan ke seluruh perkampungan dan kawasan luar bandar di sejumlah negara di benua Afrika termasuk Rwanda dan Ghana.

Kemunculan GCTV dan kejayaan aktor media sejagat bukan Barat seperti Al Jazeera dan Russian Today merupakan tiga alternatif sudut pandangan baharu kepada khalayak sejagat.

Dalam pencarian pengaruh China Facebook, didapati sehingga Disember 2019, akaun CGTN dalam bahasa Inggeris mempunyai 90 juta pengikutnya — terbesar dalam mana-mana saluran media di Facebook – bertambah 20 juta daripada November 2018.

Tiga daripada 10 akaun media di Facebook dengan jumlah terbesar pengikutnya adalah dari media negara China. Sebagai tambahan dari pertentangan November sehingga pertengahan Disember 2019, empat daripada lima halaman media yang berkembang dalam Facebook adalah siaran media negara China: Global Times, CGTN dan dua halaman gambar dan budaya yang dikendalikan oleh Xinhua, agensi berita China.

Akaun berbahasa Perancis mempunyai 20.3 juta pengikut, CGTN berbahasa Sepanyol mempunyai 15.7 juta pengikut, CGTN 14.4 juta da CGTN Rusia mempunyai 1 juta pengikut.

Sebagai kuasa besar, China merangka dan mengerakkan banyak projek pembangunan seperti Lingkaran Ekonomi Jalan Sutera yang merupakan sebahagian daripada projek Belt and Road Initiative (BRI) dan Road pula adalah laluan maritim yang melalui Laut China Selatan, Selat Melaka, Lautan Hindi, Laut Merah hingga ke Laut Mediterranean. Kawasan laluan maritim termasuk Asia Tenggara, Asia Selatan, Afrika Timur dan Asia Barat.

Oleh itu China tentu tidak mahu insiatif ini menemui kegagalan oleh manipulasi dan propaganda media Barat dan Beijing juga sedang berusaha untuk memindahkan tarikan graviti media daripada Barat ke Asia Timur.

Penggunaan media sebagai alat diplomasi awam berdasarkan kepentingan komunikasi langsung dengan masyarakat antarabangsa dengan matlamat membentuk pandangan mengenai sesebuah kuasa besar sebagaimana yang diinginkan adalah sesuatu yang tidak boleh diukur dalam jangka masa yang singkat.

Walaupun rangkaian dan penubuhan cabang terdapat di serata dunia, ia masih memerlukan dalam menilai keberkesanannya.

Dalam kes China ia melibat pemimpin negara, matlamat Xi sendiri yang hendak membentuk agenda berita sejagat dan melahirkan tanggapan positif mengenai China.

Transformasi dasar televisyen di China tidak bebas daripada kawalan parti komunisnya. Persoalan sejauh mana CGTN memainkan peranan mewakili negara selatan atau sekadar memainkan peranan parti Komunis dalam mempromosi dan menjalankan usaha propaganda ke arah mencabar kuasa besar seperti Amerika?

China mungkin seperti Amerika ingin meletakkan diri sebagai sang imperialis baharu di peringkat antarabangsa dan menggunakan kekuatan ekonmi dan ketenteraannya untuk mempengaruhi negara sedang membangun supaya berada di bawah sayapnya.

Adakah China bertindak sebagai abang kepada negara-negara yang ditindas AS?

Di manakah media Malaysia sebenarnya di pentas dunia antarabangsa?

 Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.