https://critoxium.com/shop/

Terkini

Penganalisis lihat keretakan dalam DAP semakin ketara


PETALING JAYA: Penganalisis politik melihat pertengkaran antara pemimpin DAP baru-baru ini sebagai tanda berlaku keretakan dalam parti itu yang semakin ketara, terutama mengenai persoalan kerjasama dengan parti berasaskan Melayu.

Mereka berkata pemimpin parti itu yang berpendidikan Inggeris tidak bersependapat dengan rakan mereka yang berpendidikan Cina.

Kenneth Cheng dari Agora Society, satu rangkaian intelek, memberitahu FMT, keretakan itu jelas apabila Pakatan Harapan tidak lagi berkuasa. Katanya, salah satu perselisihan adalah bagaimana untuk kembali berkuasa.

Satu laporan akhbar semalam memetik ahli jawatankuasa eksekutif pusat, Ronnie Liu, sebagai berkata parti itu tidak boleh menjatuhkan maruah hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan tidak boleh “mencairkan kecinaannya” hanya kerana kritikan dari musuh politik.

Dua ahli DAP yang terkemuka – Ahli Parlimen Hannah Yeoh dan Tony Pua – mengecam kenyaatan Liu itu.

Cheng berkata pihak yang memilih kerjasama dengan parti-parti Melayu berasal dari kem berpendidikan Inggeris dan mereka yang menentang idea itu adalah golongan tradisionalis Cina.

Beliau berkata, akar umbi parti itu mungkin berpecah dua kerana bekerjasama dengan parti-parti berasaskan Melayu untuk pilihan raya akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini memberitahu FMT bahawa ada kemungkinan Umno akan bekerjasama dengan DAP pada masa akan datang bagi memastikan kestabilan, dengan syarat DAP menggunakan pendekatan “lebih sederhana”.

Oh Ei Sun, felo dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, bersetuju perbalahan itu berlaku antara pemimpin berpendidikan Inggeris dan Cina.

“Bukan rahsia lagi sejak bertahun-tahun konfrontasi berkembang antara puak berpendidikan Inggeris dan Cina dalam DAP,” katanya

Dengan pemilihan parti berlangsung tahun ini, katanya, perbalahan itu kemungkinan akan berlanjutan.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata penyokong tegar DAP bergantung pada pandangan konservatif pemimpin seperti Liu.

Namun, kata beliau, individu yang lebih sederhana telah menyertai pimpinan parti akhir-akhir ini, dengan generasi muda menjadikan parti itu lebih inklusif.

“Sekiranya DAP bergantung pada kumpulan Ronnie Liu, akan sukar untuk parti itu berkembang dan menjadi parti berbilang kaum apabila sokongan dan populasi orang Cina sudah berada di kemuncak,” katanya.

“Ia tidak akan dapat menambah lebih banyak kerusi tanpa pembabitan orang Melayu, India, Dayak dan Kadazan.”

DAP ditubuhkan pada Oktober 1965 oleh kebanyakan bekas anggota PAP Malaysia selepas Singapura meninggalkan Malaysia dan menjadi negara yang berdaulat.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, parti itu telah berusaha untuk meletakkan tokoh berbilang etnik, dengan lebih banyak pemimpin Melayu di barisan hadapannya.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.