https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pertukaran pegawai kanan PDRM kembali lancar

 


KUALA LUMPUR: Arahan pertukaran pegawai kanan polis yang sebelum ini ditangguhkan pada 9 April lalu, kembali berjalan seperti diumumkan sebelum ini.

Sebelum ini, majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, dijadualkan berlangsung pada Jumaat lalu, namun ditangguhkan susulan arahan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP)

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, yang disandang Datuk Saiful Azly Kamaruddin kepada Timbalan Pengarah Pengurusan, Datuk Azmi Abu Kassim, berjalan lancar semalam.

"Benar, saya sudah mengarahkan semua pertukaran jawatan pegawai kanan polis berjalan seperti dirancang sebelum ini.

"Semalam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, menerima Datuk Azmi Abu Kassim, sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baru," katanya ketika dihubungi  hari ini.

Abdul Hamid berkata, ada beberapa pertukaran jawatan lain akan turut berlangsung di seluruh negara dalam tempoh terdekat ini, termasuk jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, yang bakal diisi oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Pertukaran jawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini menjadi isu apabila arahan pertukaran yang sudah dikeluarkan bulan lalu dan sepatutnya berlangsung pada Jumaat lalu, secara tiba-tiba ditangguhkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, selaku Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), menafikan mencampuri urusan pertukaran pegawai kanan polis yang dibuat Abdul Hamid.

Hamzah menegaskan yang urusan pertukaran itu diputuskan SPP yang secara kebetulan beliau adalah pengerusinya.

Selain jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur, Majlis Serah Terima Tugas bagi jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor daripada Datuk Fadzil Ahmat kepada Nik Ezanee yang sepatutnya berlangsung Isnin lalu ditangguhkan sehingga esok di IPK Selangor.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.