https://critoxium.com/shop/

Terkini

Polis perlu henti salah guna perintah reman, peguam beritahu KPN

 


PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN) perlu bertindak bagi menghentikan amalan polis mengenakan beberapa siri tahanan reman ke atas suspek jenayah, kata pengerusi pasukan petugas Majlis Peguam.

M Ramachelvam berkata, walaupun amalan itu dibenarkan oleh undang-undang, namun perintah reman berangkai adalah salah guna kuasa yang diberikan kepada polis.

Beliau menggesa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasan menyiasat perintah reman berangkai yang dikenakan ke atas Mitheswaran Kumar, 18, yang ditahan beberapa kali dari 26 Feb hingga 11 Mac, untuk siasatan polis berkait beberapa kesalahan, termasuk rompak dan dadah.

Ramachelvam berkata, Kanun Acara Jenayah (CPC) membenarkan tahanan reman maksimum tujuh hari bagi kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman kurang 14 tahun dan maksimum 14 hari bagi kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman penjara lebih 14 tahun.

Seorang anggota Majlis Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, amalan itu merupakan salah guna CPC, sekali gus menggesa mahkamah supaya lebih berhati-hati dalam membenarkan permohonan polis.

Beliau berkata, polis seharusnya mendakwa suspek atau membebaskan mereka apabila tempoh reman tamat.

Katanya, perintah reman berangkai dibuat apabila polis menahan semula seseorang suspek atas alasan laporan polis lain dibuat di daerah polis yang lain, sekali gus menyaksikan suspek dibawa ke mahkamah untuk perintah reman pada hari berikutnya.

Amalan itu biasanya dibuat apabila polis perlu mendapatkan keterangan tambahan selepas perintah reman pertama tamat, katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.