https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan salahkan rakyat kerana kebodohan kerajaan, kata ahli Parlimen DAP

 


PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh menyalahkan rakyat sekiranya kerajaan yang membuat dasar dan prosedur operasi standard (SOP) tidak bijak, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

“Tolong jangan salahkan rakyat yang kecewa sekiranya dasar atau SOP yang diumumkan oleh segelintir menteri dilihat “bodoh”.

“Sebagai contoh, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diperketat, tiga dasar yang dibuat pada saya tidak masuk akal dan mungkin juga kepada sebahagian besar masyarakat,” kata bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam satu kenyataan hari ini.

Ong berkata demikian mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa beliau tidak kisah jika rakyat menyatakan “apa bodoh perdana menteri”.

Muhyiddin berkata rakyat boleh menyalahkan kerajaan tetapi tanggungjawab untuk menjadikan pandemik Covid-19 terkawal bukan kepada kerajaan sahaja.

Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan untuk memperketatkan SOP berikutan lonjakan kes Covid-19.

Dibawah SOP yang diperketatkan itu, 80% penjawat awam perlu bekerja dari rumah, dengan aturan baharu dibuat bagi memastikan kaunter awam masih beroperasi.

Selain itu, tempoh masa perniagaan termasuk pasar raya dan restoran dipendekkan kepada 12 jam dari pukul 8 pagi hingga 8 malam, manakala kapasiti pengangkutan awam juga dikurangkan kepada 50%.

Ong mengkritik pelaksaan SOP berkenaan dan menyatakan ia akan menimbulkan kekacauan di tempat terbabit.

“Sekatan terhadap perniagaan termasuk premis makanan untuk beroperasi sehingga pukul 8 malam akan menyebabkan orang ramai bersesak di restoran dan kedai mamak yang tutup pada jam 8 malam.

“Ia turut membahayakan penghantar makanan yang menunggang motosikal kerana mereka terpaksa memenuhi tempahan yang dibuat hampir pukul 8 malam.

“Mengapa tidak lanjutkan waktu operasi restoran untuk bungkus makanan sehingga 10 malam agar kesesakan tidak berlaku sebelum pukul 8 malam? Maaf kalau saya terkasar, tetapi ini adalah dasar atau SOP yang sangat bodoh,” katanya.

Beliau juga berkata pengurangan kapasiti pengangkutan awam kepada hanya 50% juga akan menyebabkan kesesakan kepada penumpang.

“Ini akan meningkatkan kemungkinan penularan Covid-19 terutamanya apabila penjarakan sosial tidak dapat diamalkan dalam pengangkutan awam yang sesak seperti LRT, MRT dan bas terutamanya di Lembah Klang.”

Ong berkata pengurangan kapasiti penjawat awam kepada 20% juga akan menyebabkan barisan dan tempoh menunggu yang panjang kepada mereka yang terpaksa ke pejabat kerajaan untuk memproses dokumen, membuat sebarang bayaran dan transaksi kerajaan lain, terutamanya mereka yang tiada kemudahan untuk melakukannya secara dalam talian.

Tambah Ong rakyat tidak pernah terbayang untuk memanggil perdana menteri atau sesiapa sahaja dalam pentadbiran sebagai bodoh, sekiranya mereka membuat SOP berdasarkan sains dan masuk akal.

Muhyiddin dalam temubual di televisyen malam tadi berkata beliau tidak kisah dikritik oleh rakyat asalkan mereka turut memainkan peranan untuk menghentikan penularan Covid-19.

“Bolehlah nak salahkan kerajaan, marah perdana menteri pun tak apalah, saya terimalah. Rakyat kata: ‘Apa bodoh perdana menteri’, tak apa.

“Seluruh masyarakat mesti berganding bahu, barulah boleh kita landaikan lekuk jangkitan Covid-19,” katanya dalam Bicara Khas mengenai Cabaran Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen malam tadi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.