https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Jerung’ jadi penyebar Covid-19?


Oleh DR ABDUL LATIFF MOHAMED IBRAHIM

Bahaya memperalatkan agama untuk tujuan politik atau memperdagangkannya bagi apa pun tujuan memang tidak dapat dinafikan padahnya.

Parti politik yang menggunakan slogan “perjuangan Islam” tidak semestinya “memperjuangkan Islam”. Slogan itu sekadar untuk menarik sokongan mereka yang terpesona dengan kalimah-kalimah Islam yang dipetik daripada Quran dan hadith oleh pemimpin dan pengikut parti berkenaan bagi menjustifikasi pertubuhan mereka “memperjuangkan Islam”.

Sebenarnya mereka tidak berbeza sedikit pun daripada mana-mana parti politik yang wujud dalam negara kita.

Dalam konteks ini, kenyataan “jerung dan ekstremis agama” yang dibuat oleh pemimpin utama sebuah parti politik baru-baru ini mengundang pelbagai kritikan kerana jauh tersasar dan cuba membohongi rakyat tentang keadaan sebenar di sebalik pengisytiharan darurat.

Di samping itu netizen mengkritik usaha mengaitkan pembantah darurat tersebut dengan kemungkinan merebaknya pandemik Covid-19 dalam negara kita.

Dalam menegakkan hujah-hujahnya, beliau menggunakan ayat-ayat al-Quran, barangkali bagi menggambarkan betapa bercanggahnya tindakan membantah dan mendesak agar darurat ditamatkan dari sudut Islam.

Salah satu respons menarik yang mengupas kenyataan pemimpin itu sekaligus menunjukkan kedangkalan hujah yang dibawanya dibuat oleh seorang profesor Pengajian Melayu yang mengulas serta mendedahkan kepincangan hujah-hujah itu. Ulasannya boleh dibaca dalam laman Facebooknya.

Memang aneh apa yang disebut oleh pemimpin parti politik tersebut. Cukup kalau saya mengulangi dan menambah sedikit daripada apa yang diulas oleh profesor itu.

Pemimpin yang diketahui gemar menggunakan nama-nama haiwan untuk menggelarkan seseorang atau kelompok kali ini mengibaratkan mereka yang membantah darurat dan mahu ia ditamatkan sebagai “jerung (yang lapar)” iaitu yang dinamakannya sebagai “ekstremis politik”, malah menyifatkan mereka sebagai lebih berbahaya daripada ekstremis agama yang keluar meletupkan diri mereka dan membunuh orang laini.

Baginya, tindakan membantah darurat yang berkuatkuasa sekarang adalah tindakan ‘politiking’, oleh mereka yang mahu berpolitik sepanjang masa sehingga tidak peduli pada masalah merebaknya wabak Covid-19 itu.

Beliau terus membuat kesimpulan bahawa bantahan terhadap darurat semata-mata satu tindakan politik yang mengabaikan keselamatan negara dengan membahayakan nyawa rakyat. Barangkali pada fahaman beliau darurat itu benar-benar diadakan bagi menangani pandemik tersebut.

Apakah mereka yang membantah darurat tidak sedar tentang keadaan semasa penularan pandemik? Apakah mereka tidak peduli tentang keselamatan rakyat dan negara sewaktu membantah darurat tersebut?

Dan saya boleh menambah – bukankah bantahan itu sebenarnya dibuat supaya wujud ketelusan dalam segala tindakan menghadapi pandemik oleh pihak kerajaan iaitu menerusi persidangan Parlimen di mana semua tindakan kerajaan boleh dibahas guna mengemukakan cadangan terbaik menanganinya?

Bagaimana satu generalisasi dan kesimpulan boleh dibuat begitu rupa bagi menggambarkan bantahan terhadap darurat sebagai menggalakkan penularan Covid-19? Apa kaitannya? Kalau mahu darurat itu ditamatkan adakah ini bermakna membantah usaha mengatasi penularan Covid-19?

Melihat pembunuhan yang dibuat oleh ekstremis agama dengan kematian yang terjadi kerana pandemik atas laras pemikiran yang sama adalah juga salah. Pembunuhan oleh ekstremis agama dirancang dan dilakukan dengan sengaja bagi menimbulkan ketakutan dan memenuhi hasrat ekstremis yang dilebelkan sebagai “jihad”.

Pandemik Covid-19 adalah bencana alam yang terjadi daripada virus baru yang pada permulaannya belum pun ditemui vaksinnya dan merebak ke setiap pelusuk dunia.

Dan mereka yang mahu darurat ditamatkan tiada perancangan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat, atau sanggup melihat kematian daripada wabak itu ataupun mahu melihat kesengsaaran rakyat.

Hujah yang dikemukakan oleh pembantah darurat ialah untuk memenangi perang terhadap pandemik tidak perlulah ada darurat kerana semua langkah yang sedang dilaksanakan sekarang bagi membendung dan memeranginya sudah pun dibuat sejak permulaan pandemik ini.

Tiada apa yang baru, justeru lebih baik darurat dibatalkan dan siding Parlimen diadakan bagi membolehkan usaha memerangi pandemik lebih berkesan apabila kesemua wakil rakyat daripada kedua-dua kerajaan dan pembangkang boleh berperanan.

Justeru pada pendapatnya ekstremis agama yang membunuh orang tidak semerbahaya ‘ekstremis’ politik. Adakah ini satu galakan bagi ekstremis agama? Sekurang-kurangnya perbuatan mereka boleh diterima lagi, tetapi bukan “ekstremis politik”?

Beliau mengandaikan banyak perkara sebagai fakta yang sahih kerana beranggapan mempunyai hujah dalam bentuk dalil Quran dan hadith, yang dihafalnya. Tetapi apabila dibaca ayat-ayat al-Quran dan hadith tersebut tiada kaitan langsung antaranya dengan isu yang dibangkitkan.

Sekadar mengemukakan dalil-dalil tentang cara menangani wabak dan bagaimana seseorang atau kumpulan tidak boleh menimbulkan sesuatu yang membawa sengsara atau mudarat kepada orang lain tidak bermakna sesiapa yang bersuara dalam sistem demokrasi kita bagi membetulkan sesuatu keadaan bertindak membawa mudarat kepada seluruh masyarakat itu.

Memang diakui bahawa Islam telah lebih lama mempelopori perkara-perkara seperti hak asasi, “rule of law” dan sebagainya. Walaupun Barat hanya mengaplikasinya di waktu kemudian ini bukan bermakna apa sahaja yang datang dari Barat mesti ditolak atau dianggap “tidak Islamik”.

Kenyataan seterusnya berkait dengan konsep kebebasan disalaherti oleh beliau. Katanya “Jika langgar lampu isyarat, kenderaan terjunam masuk parit, samada kerana akal terbabas atau kenderaan terbabas, ini konsep kebebasan Barat yang tak harus diamalkan”.

Apa kaitan “kebebasan Barat” dengan pelanggaran undang-undang? Adakah Barat membawa kebebasan sehingga boleh melanggar undang-undang?

Siapa pun yang melanggar undang-undang di Barat memang akan dihukum, baik yang melanggar lampu isyarat atau yang menimbulkan mudarat kepada orang lain. Apa relevannya bercakap pasal isu ini?

Ada semacam kecenderungan untuk membuat andaian-andaian kemudian memaksa pembaca menerimanya sebagai kenyataan. Seperti dalam cerita mengenai “tebuk lubang” dalam kapal.

Jika orang bawah tak sabar mahu naik ke atas untuk mendapatkan air, memutuskan untuk tebuk kapal, kapal akan tenggelam. “Jika yang menebuk kapal itu ialah manusia, maka ia wajib dicegah.
Sebaliknya jika yang menebuk kapal itu ialah spesies jerung, maka ia perlu dihapuskan sahaja demi menyelamatkan semua”.

Seolah-olah orang bawah yang merungut lambat dapat air secara sah, semestinya akan menebuk kapal. Ini andaian yang salah.

Mengapa pula diandaikan mereka bersikap serong, mungkin sakit hati atau dengki kepada orang bahagian atas kapal? Mengapa pula yang manusia menebuk hanya dicegah, sementara jerung (manusia juga) harus dihapuskan? Sedangkan ‘jerung’ yang dia maksudkan adalah suatu metafora. “Hapus” itupun membawa konotasi keganasan rupanya! (Kenyataan oleh profesor di atas)

Apa yang dibimbangi ialah dalam keghairahan menyokong sesuatu, dalil apa sahaja digunakan tanpa memperdulikan apakah ia relevan atau tidak.

Andaian dan generalisasi dibuat untuk memaksa pendapat ke atas orang lain. Lebih malang agama diperalatkan bagi menegakkan hujah-hujah yang tidak relevan dan menyimpang itu.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.