Terkini

Pendedahan KPN: Mengapa negara perlu reformasi menyeluruh?


Oleh ZIN MAHMUD 

Luahan perasaan bekas Ketua Polis Negara di sidang media persaraannya bukan saja memaparkan masalah hubungannya dengan Menteri Dalam Negeri tetapi ia adalah satu titik bersejarah dalam perkembangan politik masa kini negara.

Beliau adalah seorang yang berani dan berusaha untuk membersihkan pasukan Polis Di-Raja Malaysia walaupun tentunya tidak dapat menyempurnakan dalam waktu begitu singkat dalam suasana kerajaan masa kini yang tidak komited untuk melakukan reformasi terhadap pentadbiran negara.

Sememangnya malang bagi beliau dan rakyat Malaysia kerana tidak dapat merasakan kelahiran semula pasukan polis yang bersih, cekap dan berkesan. Kepentingan pasukan polis bagi negara ini amat besar lebih-lebih lagi dalam keadaan negara yang sedang berada pada kancah melawan Covid-19. Selain itu rakyat perlu keyakinan terhadap pasukan polis yang profesional, tanpa campur tangan tidak beretika dari ahli-ahli politik.

Rakyat boleh saja tidak mempedulikan luahan perasaan beliau dan negara pun bergerak seperti biasa, seolah-olah tiada apa-apa pelik sedang berlaku. Negara pula sedang menghadapi wabak Covid-19 yang bertambah buruk. Sebahagian besar rakyat sedang bertungkus-lumus berusaha mengatasi masalah ekonomi dengan harga barang turut naik. Suasana hari raya tanpa dibolehkan balik kampung menambah tekanan kepada orang ramai.

Kerajaan akan bergerak seperti biasa mengikut budaya politik Perikatan Nasional yang tidak beretika dalam cara mereka memerintah. Tumpuan mereka adalah mengekalkan kuasa dengan cara-cara yang banyak menimbulkan tanda tanya dengan persediaan untuk menghadapi pillihan raya ke-15. Matlamat mereka adalah untuk menang dan kembali berkuasa.

Sememangnya semua mereka yang ada jawatan mempunyai kuasa masing-masing. Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis dan Ketua Polis Negara mempunyai peranan dan kuasa. Tetapi semuanya wajar dilakukan secara beretika.

Dengan memiliki kuasa dan pengaruh, tidak semestinya seseorang itu boleh menggunakannya walaupun ia melanggar etika. Sebagai contoh, seseorang wakil rakyat boleh saja melompat parti. Tetapi tentulah perbuatan itu tidak beretika kerana ketika pengundi memilihnya, mereka bukan saja melakukannya kerana dirinya tetapi juga atas sebab dia turut mewakili parti. Kalau dia bukan wakil rakyat, tidak ada masalah baginya untuk melompat ke mana-mana parti politik.

Sememangnya politik adalah seni bagi melakukan perkara yang mustahil, art of impossible, tetapi ia tidak bermakna ahli politik terlepas daripada kerangka etika. Ini kerana hubungan sesama manusia ditentukan oleh etika. Nilai seseorang wakil rakyat terletak pada hubungannya dengan para pengundi.

Tetapi banyak ahli politik tidak menghiraukan soal etika ini. Bagi mereka politik ini merupakan suatu permainan bagi mendapatkan dan mengekalkan kuasa, terlepas daripada kekangan etika. Siasah ditafsirkan sebagai bidang yang membolehkan mereka menipu, mengelirukan dan melanggar janji yang dianggap sebagai kecerdikan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Sedangkan rakyat adalah suatu amanah bagi seseorang ahli politik. Menjadi wakil rakyat adalah memegang suatu mandat yang diperoleh dari pilihan raya di mana majoriti pengundi dari sesebuah kawasan parlimen memilih mereka untuk berkhidmat bukan saja buat penduduk kawasannya tetapi juga bagi negara pada keseluruhannya. Ini kerana parlimen, di mana suara rakyat diserlahkan adalah juga institusi yang membentuk kerajaan bagi mentadbir seluruh negara.

Contohnya, apabila majoriti pengundi kawasan parlimen Ipoh Barat memilih calon Bersatu dalam pilihan raya umum ke-14, mereka bertindak demikian bukan kerana ahli politik yang bertanding itu, bukan saja kerana partinya iaitu Bersatu tetapi juga keseluruhan Pakatan Harapan.

Pengundi di situ mengharapkan wakilnya mendukung penubuhan kerajaan Pakatan Harapan dan melaksanakan manifesto yang dijanjikan. Bukan itu saja, malah apabila dipilih menjadi menteri, pengundi mengharapkan ahli politik berkenaan melaksanakan segala tanggungjawabnya menjaga kementeriannya dan menjadi pemimpin negara selaku anggota kabinet. Semuanya dengan beretika dan berwibawa.

Perikatan Nasional pula ditubuhkan oleh ahli-ahli parlimen yang meninggalkan Pakatan Harapan. Tindakan mereka melanggar etika kerana mengkhianati kepercayaan para pengundi di kawasan masing-masing. Bila kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan, mereka pula tidak terikat dengan sebarang manifesto. Sifat Perikatan Nasional itu sendiri menyebabkan soal etika tidak menjadi pertimbangan.

Ketika Pakatan Harapan menyertai pilihan raya umum, azamnya adalah untuk membersihkan dan melakukan proses pembaharuan terhadap negara. Inilah juga apa yang disebut sebagai Reformasi. Ciri-cirinya terkandung dalam manifesto. Apabila menjadi kerajaan, sedikit demi sedikit Pakatan Harapan berusaha untuk melaksanakan agenda ini.

Dengan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan, proses ini terhenti. Ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional yang berasal dari Pakatan Harapan tidak pula menunjukkan minat untuk meneruskan projek ini. Walaupun ada antara mereka yang menyertai politik pada awal penubuhan PKR melalui gerakan Reformasi tahun 1998. Bagi mereka yang dari Bersatu sememangnya Reformasi tidak pernah menjadi agenda mereka. Penyertaan parti mereka ke dalam Pakatan Harapan adalah merupakan politik kompromi dan ekspediensi, atau pemudah cara untuk menjatuhkan rejim kleptokrasi. Bila kleptokrasi dapat dikalahkan, Pakatan Harapan dan agenda Reformasi tidak lagi berguna lebih-lebih lagi apabila dapat sokongan dari parti-parti lawan bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, sebaliknya pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional sibuk mempertahankan majoriti pendukung mereka di Parlimen dengan menarik sokongan ahli-ahli parlimen melalui cara-cara yang dipercayai tidak beretika.

Bekas Ketua Polis Negara menyeru supaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah menyiasat gejala korupsi di kalangan ahli-ahli politik dalam memberi dan mendapatkan sokongan. Tanpa menyebut nama sesiapa, orang ramai yang prihatin terhadap politik negara tenrtu faham terhadap siapa dan apa yang dimaksudkan.

Sejak beliau menjadi Ketua Polis Negara, beberapa pembongkaran telah dibuat terhadap pasukan polis. Tentunya perkara-perkara buruk telah lama berlaku dan bukan hanya pada setahun dua ini. Ia bukan hanya berlaku pada zaman pentadbiran Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan tetapi bertahun-tahun sebelum itu, iaitu semasa Barisan Nasional untuk menjadikannya pada keadaan yang ada sekarang.

Pastinya keadaan negara ketika mencapai kemerdekaan tidak dirundung dengan suasana korupsi sebegitu banyak. Seperti kebanyakan negara, Malaysia juga menubuhkan Badan Pencegah Rasuah. Tetapi bagi memerangi korupsi, ia perlukan kerjasama dari orang ramai yang mempunyai budaya antirasuah dan kekuatan media bebas yang mampu mengadakan krwartawanan siasatan untuk melakukan pembonglaran. Turut penting adalah peranan parti-parti pembangkang yang aktif dan bertanggungjawab.

Keadaan korupsi negara dirasakan bertambah dan akhirnya menjadi budaya yang diketahui umum tetapi tidak dibongkar. Malah ia menyerap ke dalam parti pemerintah dan diperkatakan tanpa segan silu. Namun tiada pembongkaran dan tindakan secara sistematik. Pada tahun 1980-an dan 1990-an, media dikawal yang sudah tenti tidak dapat melakukan sebarang pembongkaran yang boleh mengurangkan sokongan rakyat kepada kerajaan.

Maka part-parti pembangkang sering menimbulkan isu-isu penyelewengan tetapi mereka tidak mempunyai cukup maklumat dan kemahiran untuk mendedahkan sesuatu perkara hingga ke akar umbi. Sementara sebahagian orang ramai pula yang memperoleh manfaat dari budaya korupsi tentu mahu keadaan sedia ada dikekalkan. Untuk itu mereka sentiasa menyokong parti pemerintah bagi meneruskan keadaan ini.

Maka ketika gerakan Reformasi dlancarkan pada tahun 1998, ia adalah untuk membersihkan kepincangan. Sebelum itu parti yang menemtang Barisan Nasional ialah Pas, DAP dan PSRM yang sentiasa menimbulkan isu kepincangan sistem itu.

Walaupun kemudian parti-parti pembangkang itu menjadi kerajaan dalam bentuk Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu, usaha Reformasi tidak dapat dijalankan sepenuhnya atas pelbagai sebab. Tetapi usaha Reformasi tidak wajar terhenti kerana keadaan negara belum dibaiki.

Lebih-lebih lagi apabila mendengar luahan perasaan Ketua Polis Negara bersara itu, maka semakin kuat untuk dinyatakan bahawa perjuangan melaksanakan Reformasi walaupun ia memakan masa panjang, demi kebaikan negara dan rakyat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.