https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lautan sarang labah-labah penuhi wilayah Australia


 SYDNEY: Beberapa kes baharu COVID-19 dikesan di Sydney hari ini, ketika penularan jangkitan di Melbourne mula menurun, yang menggambarkan kesukaran dihadapi Australia untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak itu.

Seramai 10 individu disahkan positif COVID-19 di Sydney, menjadikan 21 kes keseluruhan dalam kluster yang pertama kali dikesan di kawasan Bondi Beach minggu lalu.

Ketua Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian, berkata pihak berkuasa kesihatan menjangkakan penularan di bandar paling ramai penduduk di Australia itu akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang, membabitkan kes jangkitan di sebuah kafe dan pusat beli belah.

Bagi mengekang penularan itu, kerajaan Australia mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan premis perniagaan hampir di seluruh Sydney, namun tidak melaksanakan perintah berkurung.

Jangkitan itu dipercayai mula dikesan pada seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu kepada kru penerbangan antarabangsa, yang dijangkiti virus varian Delta, yang pertama kali dikesan di India.

"Kita perlu mengakui bahawa varian Delta… adalah pemenang pingat emas dalam kategori melompat daripada satu individu ke individu lain," kata Berejiklian kepada pemberita di Sydney.

Jangkitan baharu di Sydney itu dikesan ketika Melbourne yang memiliki lima juta penduduk, melonggarkan sekatan apabila kes baharu di bandar itu semakin berkurangan sejak beberapa hari lalu.

New Zealand dan beberapa negeri di Australia sudah menamatkan sekatan perjalanan yang dikenakan bulan lalu apabila puluhan kes COVID-19 dikesan di Melbourne, menyebabkan bandar itu dikenakan perintah berkurung selama dua minggu.

Canberra melaksanakan penutupan sempadan antarabangsa yang ketat sejak Mac tahun lalu, termasuk mengehadkan perjalanan rakyatnya untuk keluar dan masuk ke negara itu, dalam usaha mengekang kemasukan COVID-19.

Bagaimanapun, virus itu masih melepasi tempoh kuarantin di hotel, dan pakar kesihatan menjangkakan wabak itu akan berterusan sehinggalah sejumlah besar rakyat Australia divaksin.

Australia sudah memberikan 6.7 juta dos vaksin COVID-19 setakat ini berbanding 25 juta penduduknya, dengan hanya sejumlah kecil sudah menerima dua dos lengkap vaksin. - AFP

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.