https://critoxium.com/shop/

Terkini

Parlimen perlu bersidang sebelum 1 Ogos, kata Pakatan


PAKATAN Harapan mahu Parlimen bersidang secepat mungkin, sebelum 1 Ogos.

Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan hari ini berkata ia sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu minggu lalu.

“Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos agar Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbang ahli-ahli Parlimen.

“Sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada ahli-ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik Covid-19, dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini,” menurut kenyataan bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mereka juga bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid dengan syarat sidang Parlimen tetap diadakan sebelum 1 Ogos.

Sidang Parlimen digantung di bawah perintah darurat yang berkuatkuasa pada 11 Januari hingga 1 Ogos bagi membolehkan kerajaan menumpukan kepada usaha menangani pandemik.

Kali terakhir Parlimen bersidang adalah pada Disember tahun lalu.

Dalam kenyataan itu pemimpin PH berkata pihaknya akan menghantar satu petisyen kepada Agong sebagai bukti majoriti ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata jawatankuasa yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang akan ditubuhkan bagi mengkaji aspek penting sebelum Parlimen bersidang.

Katanya jawatankuasa itu akan mempertimbangkan sama ada sidang Parlimen patut diadakan secara bersemuka atau hibrid.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong bersama Raja-Raja Melayu mengeluarkan satu kenyataan menitahkan Parlimen bersidang secepat mungkin.

Ia turut diperseujui oleh Raja-Raja Melayu. Mereka turut menyatakan perintah darurat yang tamat pada 1 Ogos tidak perlu dilanjutkan.

Yang di-Pertuan Agong bertitah ia bagi membolehkan semua ordinan darurat dan pelan pemulihan negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dibahaskan oleh wakil rakyat.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.