https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah sidang khas parlimen nanti macam perutusan khas saja?


 Jika mengikut perutusan yang dikeluarkan oleh kerajaan PN pada 5 Julai lalu, sidang parlimen yang ingin diadakan kira-kira dua minggu lagi ini hanyalah sidang atau mesyuarat biasa saja.

Sedangkan sepatutnya mereka perlu melakukan sidang parlimen yang proper seperti yang lazim dibuat sebelum ini. Itulah tuntutannya kerana sistem negara ini bertunjangkan ketinggian perlembagaan.

Maknanya, oleh kerana sidang parlimen bagi 2021 ini masih belum pernah dibuka atau dirasmikan sidangnya oleh Yang di-Pertuan Agong - sebagai salah satu kompomen penting dalam parlimen negara berdasarkan skema Perlembagaan Persekutuan (selain Dewan Rakyat dan Dewan Negara) - maka sepatutnya sidang ini perlu dianggap sebagai perasmian sidang Parlimen oleh baginda untuk 2021.

Mungkin sahaja Agong sendiri ada niat untuk bertitah sesuatu bagi memaklumkan kepada rakyat. Bukankah institusi diraja dianggap memayungi rakyat?

Parlimen adalah gabungan antara Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Setakat ni ahli parlimen masih belum menerima apa-apa notis pemakluman rasmi mengenai tarikh sidang parlimen. Tidak pasti bilakah notis itu akan diserahkan kepada kami.

Apabila kerajaan memaklumkan mereka hanya ingin mengadakan sidang atau mesyuarat khas saja, logiknya - atau maknanya - ia hanya sebuah sidang untuk tujuan tertentu.

Semasa saya berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), hal ehwal parlimen itu adalah antara tugas hakiki Jabatan Perdana Menteri yang antaranya diamanahkan kepada mendiang VK Liew dan saya untuk dikelolakan.

Apabila kerajaan sekadar mahu mengadakan sidang khas , maknanya tidak akan ada sesi soal jawab dengan menteri atau timbalan menteri yang biasanya diadakan dari jam 10 pagi hingga 11.30 pagi setiap Isnin dan Rabu.

Jika ada sesi MQT (masa soal jawab kepada menteri, dan timbalan menteri tidak boleh melakukannya) ia bermula dari jam 10 pagi hingga 10.30 pagi, dan selepas itu ia dilanjutkan hingga ke jam 12 tengah hari.

Maknanya melalui sesi soal jawab tersebut, ahli parlimen dibenarkan untuk kemukakan soalan-soalan lisan dan bertulis lebih awal kepada setiausaha dewan bagi mereka membangkitkan isu isu penting dalam negara kepada kementerian tertentu.

Semasa mendiang Liew dan saya diamanahkan menjaga hal ehwal parlimen dahulu, kami berbincang dan berjaya mendapatkan persetujuan perdana menteri untuk dia turun ke parlimen agar boleh menjawab sendiri soalan yang dikemukakan sewaktu sesi MQT.

Misalnya, isu Tabung Haji. Meskipun Mujahid Yusof misalnya boleh menjawab soalan ahli parlimen, tetapi kami memohon agar perdana menteri (Dr Mahathri Mohamad) sendiri yang menjawab.

Saya sendiri telah bertemu secara empat mata dengan Mahathir pada masa itu bagi membincangkan betapa mustahaknya dia sendiri turun menjawab walaupun kami sedar kekangan masa yang dihadapi.

Sebenarnya kami pada masa itu telah bergerak ke arah untuk melaksanakan sesi soal jawab khas dengan perdana menteri saja pada setiap minggu dan ia akan menjadi kenyataan jika kerajaan PH tidak dirompak!

Oleh kerana PH adalah kerajaan yang ada mandat daripada rakyat, kami mahu semasa di parlimen, seberapa boleh semua isu rakyat boleh ditanya dan dijawab.

Itulah namanya akauntabiliti. Sebab itu juga ia dinamakan Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat pada masa itu pun lazimnya akan memberi kelonggaran (leeway) dari segi masa dan bilangan soalan tambahan yang hendak ditanya jika perdana menteri sendiri yang hadir menjawab.

Hatta dalam sidang Dewan Negara, timbalan perdana menteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail) juga telah beberapa kali turun dan menjawab soalan yang dibangkitkan.

Bagi sidang khas bermula 26 Julai ini nampaknya semua itu - malangnya - tidak akan ada.

Jika ada, sudah tentu mereka telah menghantar notis pemaklukman kepada semua ahli parlimen untuk membolehkan kami mengemukakan soalan.

Para ahli parlimen umumnya tidak mahu melepaskan peluang untuk sesi ini. Malangnya untuk sidang khas ini hak ahli parlimen seperti sedang dirampas.

Seperkara lagi, kita semua maklum bahawa kerajaan sudah membelanjakan wang negara (wang rakyat), maka perbelanjaaan itu, tidak dapat tidak, patut dibahaskan dalam sidang parlimen.

Amat perlu dibentangkan sebuah rang undang-undang perbekalan tambahan (supplementary budget) untuk dibahas dan diluluskan. Itu kemestian menurut undang-undang. Sebab wang itu adalah milik negara atau rakyat.

Kegagalan berbuat demikian boleh ditafsirkan sebagai pecah amanah dan satu jenayah.

Malangnya - sekali lagi - kita tidak nampak ia akan berlaku pada sidang khas kali ini. Di manakah dasar pertanggungjawaban?

Sebab itu khabar angin yang bertiup kencang dalam kalangan ahli parlimen ialah sidang khas nanti kemungkinan hanya seperti perutusan khas saja. Kami berharap ianya tidak betul.

Jujurnya, kami tidak rasa apabila Agong dan raja-raja Melayu menitahkan beberapa kali supaya perlunya sidang parlimen diadakan dengan segera, ia hanyalah diniatkan hanya satu sidang atau mesyuarat khas semata-mata, sekadar melepaskan batuk di tangga.

Bukankah asas negara ini adalah demokrasi berparlimen?


MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah ahli parlimen Sepang dan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.