https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan jadi korban kerana raya korban

 


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah menasihati orang ramai supaya bertanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa Aidiladha agar tidak ‘terkorban’ kerana Covid-19.

Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub telah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar jangan sesekali melakukan aktiviti rentas daerah atau negeri semasa sambutan hari raya korban.

Seluruh negara ketika ini sama ada yang di bawah kategori Fasa 1 atau Fasa 2, masih belum boleh berbuat demikian.

Rakyat perlu mengambil iktibar beberapa kes lonjakan jangkitan Covid-19 yang berlaku setelah melakukan rentas daerah dan negeri semasa sambutan Aidilfitri lalu.

Sebanyak 21 kluster turut direkodkan yang melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.

Sekalipun ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu SOP tidak membenarkan aktviti rentas daerah dan negeri, namun, ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang secara ‘curi-curi’ balik kampung melalui ‘jalan tikus’ semata-mata untuk meraikannya bersama keluarga.

Korbankan dahulu hari raya korban tahun ini, supaya kita tidak mengorbankan orang yang kita sayang, atau setidak-tidaknya kita bertanggungjawab menyebarkan virus berbahaya itu ke kampung.

Rakyat perlu bersabar dan menunggu sehingga negara sudah mencapai imuniti kelompok untuk diberi kebenaran merentas daerah dan negeri di Fasa 3 dan Fasa 4.

Tidak berjumpa dengan ibu bapa ketika masih dalam pandemik bukan bermakna tidak menyayangi mereka, sebaliknya ia pilihan yang lebih bertanggungjawab demi melindungi keluarga masing-masing.

Sanggupkah kita melihat orang yang kita sayang dijangkiti virus maut itu semata-mata kedegilan kita untuk menyambut Aidiladha di kampung.

Lebih baik kita korbankan Aidiladha tahun ini sekurang-kurangnya orang yang kita sayang masih ada untuk hari raya yang akan datang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.