Buka ruang perbahasan di sidang khas Parlimen, jangan derhaka titah Agong - Majlis Presiden PH
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden
Pakatan Harapan (PH) hari ini mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN)
agar membuka ruang perbahasan sewaktu sidang Parlimen Khas pada 26
Julai hingga 2 Ogos ini seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan
Agong sebelum ini.
Dalam satu kenyataan
pada Ahad, Majlis itu menegaskan tindakan tidak membuka ruang
perbahasan sewaktu sidang Parlimen Khas akan datang seolah-olah
menderhaka terhadap titah Baginda.
"Majlis
Presiden Pakatan Harapan memberi amaran keras kepada kerajaan Perikatan
Nasional agar hentikan pencabulan institusi demokrasi negara yang
bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 telah menzahirkan
titah pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya
Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan
Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19," jelas
kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu
lagi, Baginda juga telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari
dan 29 Jun 2021 yang senada dengan aspirasi rakyat yang mahu kemelut
pandemik dan kemelesetan ekonomi berakhir.
Selain
itu Ketua Pembangkang juga pada 12 Julai lalu juga telah menghantar
usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan
perkara-perkara yang digesa oleh Baginda.
"Malangnya
kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan
persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos, hanyalah satu
persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri
tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen.
"Oleh
itu, Pakatan Harapan mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan
Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan Yang
di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan
bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli
Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab murni mereka membela hak
rakyat," jelas kenyataan itu lagi.
PH TIDAK BENTANGKAN UNDI TIDAK PERCAYA
Sementara
itu demi memberi tumpuan kepada masalah rakyat, Pakatan Harapan juga
tidak akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana
Menteri pada sesi itu nanti.
"Tidak ada
usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh
Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat
ekoran krisis COVID-19 dan kemelesetan ekonomi," tambah kenyataan itu
lagi.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.