https://critoxium.com/shop/

Terkini

Nik Abduh suruh hubungi atau pergi kepada penghulu bukan kibar bendera putih


 Nik Abduh Nik Aziz mengulangi pendirian bahawa tidak wajar untuk rakyat yang susah mengibarkan bendera putih kerana negara sedang menghadapi darurat kesihatan bukannya darurat ekonomi.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu, jaringan sosial pentadbiran kerajaan ibarat bendera yang sekian lama diangkat untuk dilihat oleh semua yang ingin mengadu.

Katanya, tiada keperluan untuk menyuruh mereka mengisytiharkan kesusahan mereka kepada seluruh mata manusia, cukup hubungi atau pergi kepada para penghulu tanpa perlu diketahui awam.

“Agama Islam agama fitrah. Fitrah manusia enggan kesusahan mereka diketahui awam. Sifat iffah iaitu menjaga air muka sendiri adalah amat mulia di dalam Islam.

“Justeru jentera pembantu yang wajar mengangkat bendera, bukan mereka yang ditimpa kesusahan. Jangan terbalikkan.

“Kita darurat kesihatan, bukan darurat ekonomi. Jentera kerajaan dan masyarakat termasuk NGOs sedia ada masih kukuh dan sentiasa diperkasakan untuk terus berkhidmat.

Katanya, para penghulu adalah nadi penting, mereka paling hampir dan mengenali anak mukim dan isi rumah di mukim masing-masing.

“Jaringan para penghulu adalah paling terbaik dalam membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang disediakan oleh kerajaan untuk seluruh rakyat,” katanya dalam posting Facebook malam tadi.

Justeru katanya, matlamat yang baik mestilah dicapai dengan cara yang baik juga, cermat dan hemat adalah jalan Islam.

“Sentiasalah berdoa dan yakin bahawa doa adalah senjata utama melawan Covid-19,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Syura Ulamak Pas ini dikecam hebat oleh rakyat yang tidak bersetuju dengan pandangannya meminta rakyat yang susah menadah tangan berdoa bukannya bertindak mengibar bendera putih.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.