https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pertemuan rahsia kumpul akuan sokongan berakhir, pemimpin Perikatan lari dari media

 


PERTEMUAN yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dikatakan untuk mengumpulkan surat akuan sokongan bagi menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri baharu dan Hamzah Zainuddin sebagai timbalan perdana menteri berakhir selepas tiga jam.

Mereka yang berkumpul dalam mesyuarat itu kemudiannya dilihat keluar dari hotel melalui jalan keluar lain untuk melarikan diri dari media.

Terdahulu hari ini, media melihat beberapa kereta menteri, diparkir di tempat letak kereta di Royale Chulan Hotel di Kuala Lumpur petang ini.

Turut kelihatan kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden Umno Ismail Sabri serta Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah dan ahli Parlimen lain.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa pertemuan itu diadakan bagi menandatangani surat akuan berkanun menyokong Ismail sebagai perdana menteri dan Hamzah sebagai timbalannya.

Ismail Sabri dilihat tiba kira-kira 2.45 petang sementara kenderaan beberapa ahli parlimen juga kelihatan di perkarangan hotel.

Awal hari ini ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof, yang mengesahkan Muhyiddin akan letak jawatan, berkata apa yang berlaku sekarang berpunca daripada kepentingan peribadi diletakkan lebih utama daripada kepentingan rakyat.

Muhyiddin membuat keputusan letak jawatan tidak sampai 24 jam selepas beliau membuat tawaran reformasi sebagai ganti sokongan ahli parlimen pembangkang kepada kerajaannya.

Pembangkang menolak tawaran itu yang disifatkan sebagai rasuah sementara segelintir sekutu Muhyiddin juga mempertikaikannya, sehingga memaksa keputusan letak jawatan ini menjelang undi percaya yang ditetapkan 7 September.

The Malaysian Insight difahamkan Muhyiddin akan mengemukakan dua calon pengganti perdana menteri apabila beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.