Terima apa jua keputusan esok, usah lagi bangkitkan soal keabsahan
KUALA LUMPUR: Semua pihak terutamanya ahli politik harus menghormati setiap keputusan yang akan diputuskan esok terutamanya sekiranya ada nama dipilih bagi jawatan Perdana Menteri, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya beliau memilih untuk meletakkan jawatan.
Penganalisis
Politik, Prof Madya Sivamurugan Pandian berkata, keputusan itu juga
memberi petanda wujudnya keabsahan kepada pemimpin yang dipilih esok dan
sepatutnya tidak lagi dibangkitkan isu mengenainya.
“Tidak
lagi wujud krisis keabsahan tetapi pembangkang sekiranya boleh menerima
keputusan itu, bermakna mereka juga akan diiktiraf agar mampu memainkan
peranan yang besar bukan sahaja di dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN),
ia juga dalam Jawatankuasa Khas Parlimen.
“Saya
rasakan, banyak yang boleh dimainkan dan kerajaan harus menghulur
tangan kepada pembangkang supaya mereka juga boleh terlibat secara
langsung.
“Soal hilang kepercayaan, soal
tiada sokongan boleh dihentikan jika kedua-dua pihak boleh memainkan
peranan yang saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya ketika
bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.
Tambahnya,
beliau menjangkakan perkara sama seperti pertukaran kerajaan pada tahun
lepas akan berlaku esok namun untuk bergerak ke hadapan, semua ahli
politik perlu mencari titik tengah bagi menyelesaikan kemelut politik
negara.
“Apabila ada satu pelantikan,
akan ada satu lagi pihak yang sentiasa bersedia untuk merebut kuasa.
Adakah kita mahu menentukan agenda rakyat atau agenda kuasa ketika kita
sedang berhadapan krisis nasional yang lain.
“Dalam
soal ini, kematangan politik itu penting. Cari satu titik tengah yang
memungkinkan kedua-dua pihak boleh berkompromi seketika,
sekurang-kurangnya.
“Banyak yang kita perkatakan gencatan politik kerana selama ini dibebani tanggungjawab itu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sekiranya
peletakan jawatan itu berlaku, adakah tidak mungkin kita melihat satu
lensa baru agar titik tengah itu memungkinkan kita mengetepikan krisis
secara bersama.
“Saya rasa selepas ini ia
harus menjadi tanggungjawab bersama, pembangkang boleh memainkan
peranan dengan fungsi lebih baik, kerajaan juga jalankan fungsi dengan
lebih baik. Tidak lagi melihat kepada pertembungan politik,” ujarnya
lagi.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.