https://critoxium.com/shop/

Terkini

Khianat bermula dengan Langkah Sheraton

 


KUALA LUMPUR: UMNO bukan pengkhianat seperti didakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya parti itu mempunyai alasan jelas sehingga nekad menarik balik sokongan kepada  Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri ketika itu. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antaranya  tindakan Muhyiddin mengisytiharkan  darurat dan ‘memandulkan’ Parlimen tidak berjaya  memerangi pandemik Covid-19.

Selain itu, menurut beliau, saranan dan kebimbangan UMNO supaya Muhyiddin tampil dengan strategi baharu yang lebih berkesan memerangi pandemik ketika itu  juga tidak dipeduli. 

Beliau juga merujuk  beberapa kempen  digerakkan masyarakat seperti #KerajaanGagal, #Lawan dan #BenderaPutih yang  membuktikan  bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin memang gagal. 

Bagaimanapun,  menurut Mohamed Khaled, UMNO terpaksa menerima kesannya kerana parti itu berada dalam gabungan kerajaan dan UMNO secara bertanggungjawab memberikan teguran, desakan dan pandangan yang selari dengan sentimen diingini masyarakat. 

“Penarikan sokongan UMNO ke atas Muhyiddin tidak dilakukan secara mengejut, rahsia atau tidak berasas. Lihat kembali resolusi semasa Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini dan kenyataan ramai pemimpin utama UMNO bahawa parti ini akan menarik sokongan. 

“UMNO juga tidak akan terus bersama Muhyiddin  jika segala usul, desakan dan tuntutan yang mahu kerajaan menguruskan ekonomi dan Covid-19 dengan lebih baik tidak diberi perhatian. 

“Yang jelas, UMNO tidak melakukan semua ini sebagai satu rancangan jahat dan sulit di hotel di ibu kota, ia bukan tindakan dibuat untuk merebut kuasa malah, UMNO menegaskan bahawa yang ditegur dan ditolak adalah Perdana Menteri, bukan keseluruhan kerajaan. 

“Kalau pun ada mangsa pengkhianatan dalam politik tanah air, mangsanya adalah UMNO. Sebagai tokoh yang paling banyak menerima dan meraihkan pengkhianatan dan pelompat parti, Muhyiddin adalah pemangsa, bukan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Muhyiddin yang mendakwa dirinya sebagai mangsa pengkhianatan politik yang dikaitkan dengan UMNO. 

Mohamed Khaled menyingkap kembali peristiwa Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu yang digerakkan oleh Muhyiddin bersama beberapa pemimpin PKR yang melompat parti dan berkomplot membentuk gabungan PN sehingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH)  tumbang. 

“Apabila beliau mengepalai dan merestui seluruh Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan beberapa katak politik dipimpin Azmin Ali (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) menyusun plot meninggalkan PH, pada masa itu mereka fikir tindakan merekalah paling bermoral dan betul. 

“Yang mereka lupa, susulan Langkah Sheraton lah kita mula mendengar istilah pengkhianat dalam pentas politik negara pada skala yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini.

“Hakikatnya, PH tumbang kerana Bersatu dan beberapa konconya meninggalkan mereka tanpa alasan yang jelas. Itulah pengkhianatan. Itulah fakta. Tiada pertikaian,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.