https://critoxium.com/shop/

Terkini

PAS, MCA, dan Timah

 


Oleh Mohsin Abdullah

Ia bukan isu dan tidak sepatutnya dijadikan isu. Kontroversi dan polemik yang tercetus adalah sesuatu yang tidak perlu. “Unnecessary”. Itu pendapat peribadi saya. Ya, saya bercakap mengenai arak buatan Malaysia berjenama ‘Timah’.

Tetapi ia dijadikan juga isu, kontroversi serta polemik. Terima kasih kepada orang politik dan kumpulan tertentu yang mendakwa bertindak “demi mempertahan agama dan umat Islam”.

Hasilnya orang Melayu-Islam digambarkan seakan-akan “terlalu mudah terkeliru”. Seolah-olah tidak tahu Timah itu arak hanya kerana namanya. Sedih kerana majoriti orang Melayu-Islam bukan begitu. Mereka tahu Timah yang dimaksudkan bukan Fatimah, tahu orang berjanggut dan berkopiah yang gambarnya tertera di botol bukan alim ulama.

Apa pun, akibatnya “Timah” dijadikan lawak jenaka yang sinis dan mempersenda yang kita tentu sudah dengar atau lihat di media sosial.

Namun hakikatnya ada juga kalangan Melayu Islam yang turut tidak senang lalu marah “Timah” digunakan untuk menamakan arak. Tanpa mempedulikan penjelasan si pembuat.

Di tengah-tengah polemik yang “memabukkan” muncul laporan mengatakan si pembuat arak “bersetuju” menukarkan nama produk mereka. Ramai yang syak atau lebih tepat percaya ia ada kaitan tekanan kerajaan. Apatah lagi kerajaan yang dilihat sebagai pentadbiran Melayu-Islam.

Muncul pula Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, memaklumkan Jemaah Menteri pimpinan Ismail Sabri Yaakob sudah membuat keputusan bahawa sebarang pengeluaran minuman keras di negara ini “tidak boleh menimbulkan keresahan rakyat dalam konteks bangsa dan agama”.

Bagi saya “keresahan rakyat” boleh dianggap bagai “kekeliruan rakyat khusus orang Melayu-Islam”. Timbalan Presiden PAS sendiri dilaporkan media 19 Oktober berkata jenama dan logo wiski Timah “memang boleh mengelirukan” lalu meminta ia disemak semula.

ADVERTISING

Apa pun menurut Tuan Ibrahim, kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan “usaha PAS dalam menyatakan bantahan terhadap penggunaan nama Timah bagi wiski buatan tempatan itu”.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Muktamar Pemuda PAS tempoh hari. Bagi saya sasaran atau matlamat beliau mengeluarkan kata-kata itu ialah untuk meyakinkan dan menyuntik semangat ahli PAS di samping memberitahu khalayak terutama orang Melayu-Islam bahawa partinya “boleh diharapkan untuk mempertahankan agama”.

Imbas kembali apa lagi yang dikatakan Tuan Ibrahim: “Walaupun kita baru duduk dalam kerajaan dengan 18 orang Ahli Parlimen, kalau isu agama, orang harapkan kita, termasuklah isu Timah”.

Agaknya apa perasaan Umno dan Bersatu yang duduk dalam kerajaan apabila dengar PAS berkata demikian.

Sehari kemudian, timbul sesuatu yang “tidak kena”. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, berkata walaupun Jemaah Menteri ada berbincang mengenai larangan penggunaan jenama yang boleh menimbulkan “keresahan rakyat” dalam konteks bangsa dan agama, keputusan muktamad belum dibuat.

Pada 13 November lalu, beliau dilaporkan memberitahu kerajaan bersetuju membenarkan Timah mengekalkan namanya.

Perlu diingat bukan Tuan Ibrahim seorang yang duduk dalam Kabinet Ismail Sabri. Tokoh PAS lain yang bersamanya termasuk Idris Ahmad, iaitu Naib Presiden PAS. Idris ialah Menteri Hal Ehwal Agama.

Semasa artikel ini ditulis PAS belum mengeluarkan reaksi rasmi.

Cuma sayap veteran parti itu melahirkan rasa kecewa kerana keputusan kerajaan itu yang disifatkan seolah-olah menindakkan kedudukan PAS dalam kerajaan.

Namun apa pun penjelasan PAS kelak, yang nyata keputusan kerajaan ini atau setakat ini, satu tamparan buat parti itu, khusus sekali apabila diambil kira apa yang diumumkan tempoh hari dengan megah dan bangga oleh Timbalan Presidennya. “The damage has been done” gamaknya.

Bagi orang bukan Islam pula, ramai (mungkin semua) yang tidak senang tercetusnya kontroversi arak ini. Mereka bimbang negara ini (baca kerajaan) menuju ke arah pemerintahan ala Taliban.

Lantas apabila kerajaan memutus membenarkan jenama Timah terus digunakan, Presiden MCA, Wee Ka Siong, sepantas kilat membuat hantaran di Facebook dalam Bahasa Mandarin mengumumkan keputusan itu. Niat dan objektif “is clear as daylight”. Tidak perlu dihuraikan kerana umum rasanya tahu. Maklumlah mungkin bagi beliau ini berita gembira buat orang bukan Muslim.

Kata beliau, setelah berbincang Kabinet membuat keputusan dalam semangat Keluarga Malaysia.

Wee menyalahkan “pembangkang yang telah mempolitikkan isu ini”. Ini bagi saya menarik.

Siapakah “pembangkang” yang dimaksudkan? Tentulah DAP yang beliau boleh tuduh “mengapi-apikan” komuniti bukan Islam. Tetapi komuniti itu sememangnya marah tanpa perlu dipanaskan mana pihak.

Atau adakah PAS yang dimaksudkan? Kerana yang kuat membantah ialah parti itu – sesuatu yang diakui Timbalan Presiden PAS sendiri.

Tetapi PAS parti kerajaan. Atau mungkin Wee merujuk situasi PRN Melaka? Seperti kita tahu, di Melaka, PAS bersama Perikatan Nasional melawan Barisan Nasional, gabungan yang dianggotai parti Wee.

Apa pun, saya tabik orang politik kita. Mereka cukup cekap mengambil kesempatan apabila wujud peluang untuk mengutip ganjaran politik. Jika peluang tidak wujud mereka cipta peluang. Tanpa segan, tanpa silu. Tak “amek pot” orang nampak yang tersurat dan yang tersirat. Buat dak. Bukan senang nak buat itu semua. Hebat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.