https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tak umum calon Ketua Menteri, PN dah ‘kalah’ di Melaka, kata Puad

 


AYER KEROH: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi mendakwa Perikatan Nasional (PN) sudah kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka apabila gagal mengumumkan calonnya bagi jawatan Ketua Menteri.

Katanya, kegagalan PN mengumumkan calon, sesuatu yang telah dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), jelas menunjukkan ketidakyakinan gabungan pimpinan Bersatu menuju PRN.

“Bagaimana rakyat mahu mempercayai PN? Rakyat Melaka bimbang akan dapat Ketua Menteri yang sama kualiti macam Othman Saffian, bekas Menteri Besar Johor.

“Semua ini berlaku kerana Bersatu kekurangan ahli parti yang tulen. Majoriti ahlinya adalah mereka yang melompat daripada Umno. Bersatu boleh bernyawa selagi ada yang mahu melompat (parti).

“Sebenarnya PN masuk PRN Melaka tanpa keyakinan. Tiada kesepakatan sesama Bersatu (dalam) soal calon Ketua Menteri,” katanya kepada FMT.

Ketika mengumumkan manifesto mereka bagi PRN Melaka, BN dan PH masing-masing mengesahkan pilihan mereka untuk jawatan tertinggi negeri itu adalah bekas Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali dan Adly Zahari.

Apabila Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengumumkan manifestonya semalam, beliau gagal mengumumkan calon pilihannya bagi jawatan Ketua Menteri.

Puad berkata, keputusan PN untuk tidak mengumumkan calon Ketua Menterinya “bukan strategi atau langkah taktikal”.

“Itu adalah tindakan tersepit, teragak agak dan kurang siap siaga,” katanya.

“Di Sabah, pantas sekali Muhyiddin umum Hajiji (Noor) calon Ketua Menteri tanpa berunding dengan Umno.”

Katanya, PN ternyata tiada tokoh yang mempunyai kewibawaan dan kebolehan untuk menjadi Ketua Menteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.