https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perang media sosial hangatkan kempen PRN Melaka

 


Oleh Mohd Nasaruddin Parzi -

MEMASUKI minggu kedua kempen, kehangatan sebenar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum dapat dirasai sepenuhnya. Suasananya amat hambar, berbeza dengan musim pilihan raya terdahulu.

Prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan banyak aktiviti kempen calon dan jentera parti dihadkan. Ceramah umum dan kelompok, malah walkabout calon serta jentera ke kawasan tumpuan umum, boleh dikata tiada langsung.

Kempen banyak bertumpu kepada pergerakan calon menghantar risalah kempen ke setiap kediaman penduduk, selain aktiviti sembang kopi di gerai minuman, ziarah orang sakit serta kunjungan tidak rasmi ke pasar pagi dan gerai jualan tepi jalan.

Dari segi kempen jentera pula, tumpuan lebih kepada menghebahkan makluman calon menerusi sebaran siar raya menggunakan van dan lori bergerak dari kawasan ke kawasan.

Larangan untuk membenarkan kenderaan kempen ini berhenti di satu-satu lokasi, bagi membolehkan ceramah dibenarkan diatas kenderaan, menyebabkan aktiviti ceramah fizikal tidak dapat diadakan langsung sepanjang tempoh berkempen kali ini.

Sungguhpun sekatan terhadap kempen fizikal dilaksanakan, kemeriahan sebenar kempen PRN Melaka ini cukup dirasai di pentas media sosial atau platform digital.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah dan pengalaman dalam pilihan raya terdahulu, media sosial dijadikan satu instrumen utama dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat serta poster berkaitan pilihan raya.

Sejak hari pertama kempen lagi, dapat dilihat begitu banyak kaedah kempen versi digital diperkenalkan serta ditampilkan calon dan parti bertanding. Ini semua bagi memenuhi kehendak norma baharu, pada masa sama mengisi kepadatan jadual berkempen calon.

Contohnya Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan ceramah digital dengan pemimpin utama parti menyampaikan ceramah umumnya setiap malam, namun hanya dapat diikuti penonton di alam maya menerusi YouTube atau Facebook (FB) Live.

Barisan Nasional (BN) pula, banyak menggerakkan kempennya secara digital melalui program bual bicara pilihan raya hampir setiap malam disiarkan menerusi platform FB Live dan Instagram Live.

Malah, majlis pelancaran manifesto BN dan pengenalan calon, juga dibuat tanpa kehadiran penyokongnya, sebaliknya menerusi dalam talian.

Situasi sama juga dilakukan Perikatan Nasional (PN). Majlis pengenalan calon dan ceramah umumnya, dibuat tanpa kehadiran ribuan penyokong biarpun dihadiri pemimpin utama mereka termasuk Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sungguhpun kehadiran fizikal dan interaksi bersemuka dihadkan, perang poster dan kempen hebahan maklumat peribadi calon, cukup agresif disebar di serata platform media sosial. Setiap parti tampil dengan kreativiti sendiri untuk mempromosikan calonnya.

Hampir setiap minit, akan ada poster baharu berkaitan calon dan parti dimuat naik di pelbagai akaun media sosial seperti FB serta Instagram, selain di akaun TikTok yang menjadi trend baharu bagi anak muda.

Tidak kurang juga, ada menghantar kiriman pesanan mesej secara 'peribadi' ke nombor telefon pengundi setiap pagi, petang dan malam.

Biarpun bahang PRN Melaka tetap dirasai khususnya dalam alam maya selain kibaran bendera parti bertanding memenuhi segenap penjuru, persoalan masih menjadi tanda tanya adalah apakah keadaan ini berupaya mempengaruhi pengundi turun menunaikan tanggungjawab esok bagi undi awal dan lebih penting 20 November ini ketika pengundian rasmi?

Setakat ini, SPR masih mengekalkan kaedah sebelum ini untuk mengajak rakyat turun mengundi, dengan melakukan hebahan siar raya serta menghantar kad kepada pengundi dengan mencadangkan masa sesuai membuang undi, bagi mengelak kesesakan di pusat pengundian.

Dalam situasi COVID-19 masih belum reda, sementara sebahagian penduduk masih mengambil langkah waspada, ditambah sekatan kempen berterusan, ramai pihak khususnya parti bertanding meramalkan peratusan keluar mengundi rendah.

Berbaki lima hari lagi tempoh berkempen, SPR dan parti bertanding perlu merangka langkah lebih agresif dalam memastikan isu peratusan turun mengundi rendah tidak berulang di PRN Melaka.

Alasan COVID-19 tidak lagi wajar dijadikan sebab utama, memandangkan SOP diperkenal SPR di semua pusat mengundi cukup kemas, teratur dan menjamin penjarakan sosial boleh dipatuhi. Ditambah di Melaka kini, kadar vaksinasi penuh atau populasi melengkapkan dua dos suntikan sudah mencapai 75 peratus.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.